BEIJING- Pakar-pakar perubatan di Hong Kong dan tanah besar bergabung tenaga untuk membenteras superbug pembunuh selepas Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) menemui penyebaran sejenis superbug baharu di sebuah hospital di Zhejiang.

Kajian yang diterbitkan dalam The Lancet Infectious Diseases pada Rabu menemui penyebaran superbug baharu dalam lima pesakit yang meninggal dunia akibat penyakit pneumonia serius di sebuah hospital di Universiti Zhejiang, China.

Selepas mendapatkan sampel darah daripada kesemua mangsa yang meninggal dunia itu, para saintis tempatan menemui sejenis pepijat bertoksid tinggi, boleh dipindahkan dan kebal ubat yang dinamakan “ST11 carbapenem-resistant hypervirulent Klebsiella pneumoniae”.

Para pengkaji mendapati superbug tersebut mempunyai kebolehan untuk tinggal di pelbagai tempat termasuk permukaan peralatan perubatan dan tiub, sekali gus memudahkan penyebarannya dalam institut penjagaan kesihatan.

Menurut mereka, pepijat berkenaan boleh menyebabkan berlakunya jangkitan paru-paru yang mengakibatkan pneumonia serta memasuki saluran darah serta organ dalaman yang lain.-MalaysiaGazette