Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas

KUALA LUMPUR – Isu perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands antara MIC dan myPPP akan diputuskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.

Menurut Presiden Parti Progresif Penduduk (myPPP), Tan Sri M. Kayveas, parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Najib untuk membuat keputusan berhubung perebutan kerusi berkenaan.

“myPPP serahkan kepada Pengerusi BN untuk buat keputusan. Kami akan teruskan kerja seperti biasa dan buat masa ini perpaduan antara komponen BN lebih penting daripada siapa yang akan dapat kerusi Cameron Highlands.

“Saya rasa pengerusi BN akan buat satu keputusan yang adil kepada semua komponen parti. Saya masih percaya beliau akan buat keputusan yang akan memenangkan Kedua-dua pihak,” katanya selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato ‘Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Sebelum ini, Kayveas bertegas untuk bertanding di kerusi Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang.

Langkah itu menimbulkan rasa tidak puas hati MIC yang mana kerusi terbabit telah lama menjadi kerusi parti ketiga terbesar dalam BN.

Menurut Presidennya, Datuk Seri S. Subramaniam, parti itu tetap bertegas agar Cameron Highlands terus menjadi kerusi milik MIC.

“Kita punya pendirian jelas memang kerusi itu milik MIC daripada dulu.

“Itu akan diputuskan dalam suasana muafakat di peringkat pucuk pimpinan.

“Kita tidak bincang secara mendalam (status kerusi Cameron Highlands) tetapi itu termasuk di dalam prinsip yang telah dibincangkan,” katanya di perkarangan bangunan Dato ‘Onn hari ini.

Subramaniam sebelum ini berkata hasrat Kayveas untuk bertanding di Cameron Highlands perlu diberi perhatian kerana ia kerusi tetap yang ditandingi MIC sejak PRU11.

MIC katanya akan hanya memberikan laluan kepada mana-mana parti komponen BN bertanding di parlimen berkenaan atas arahan Najib. – MalaysiaGazette.