Dugong jantan yang ditemukan terdampar di Pulau Sibu

MERSING – Seekor bangkai dugong jantan ditemukan terdampar di Pulau Sibu di sini semalam, lagi kejadian kematian membabitkan mamalia itu yang dilaporkan berlaku pada tahun ini.

Melalui pemeriksaan Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor dan maklumat dari pihak penyelidik MarCet, dugong itu ditemukan tersimpul di jaring berdasarkan kesan lebam disebabkan jaring di bahagian badan dan di sekitar mulutnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kerajaan negeri sememangnya mengambil langkah melindungi dugong.

“Saya menegaskan supaya semua agensi yang telibat agar mempercepatkan proses pewartaan dan menjalankan penguatkuasaan bagi mengurangkan isu ini dari terus berlaku.

“Kejadian seumpama itu boleh menjejaskan usaha mewujudkan Santuari Dugong Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukan RM1 juta bagi usaha-usaha pemuliharaan dugong di Negeri Johor dan pewujudan santuari dugong. – MalaysiaGazette