Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Semua idea yang dibincangkan bersama rakan-rakan dalam talian pada sesi sembang santai berkaitan topik #Bajet2018 akan diteliti, diperinci dan dipertimbangkan untuk Bajet 2018, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkongsi pandangan yang diutarakan pada sesi sembang santai di sebuah pusat membeli belah di sini semalam dalam blognya NajibRazak.com.

Antaranya pandangan pakar hartanah, Faizul Ridzuan yang melahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan menyediakan banyak projek perumahan seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M).

Najib berkata, Faizul turut menekankan mengenai pentingnya rakyat diberi pengetahuan dan ilmu mengenai pembelian rumah sekunder atau ‘sub-sale’ yang masih boleh diperolehi pada paras harga pasaran.

Menurut Najib, Faizul turut menarik perhatian bahawa orang ramai tidak tahu rumah teres tiga bilik dengan kolam renang di Damansara masih boleh dibeli pada harga RM450,000.

Selain itu, turut berkongsi pandangan Dr Khairul Hafidz yang bertugas di Kementerian Kesihatan Putrajaya yang meyarankan kerajaan mewujudkan taska atau pusat asuhan kanak-kanak khusus untuk kakitangan kesihatan dan pegawai perubatan yang terpaksa bekerja secara shift.

Pengasas NEXT Academy, sebuah pusat latihan pembangunan untuk golongan belia, Josh Teng, kata Najib mencadangkan tempoh latihan industri untuk pelajar universiti tempatan dilanjutkan daripada hanya tiga bulan ketika ini bagi membolehkan graduan menimba pengalaman dan kemahiran sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Najib juga mendengar pandangan berhubung industri pelancongan daripada Pengasas Bersama Local Usher, Sabrina Cheng yang mencadangkan perhatian lebih diberikan kepada vendor-vendor kecil pelancongan supaya mereka mampu bersaing dengan pemain industri yang lebih besar.

Selain itu, pengusaha syarikat pakaian, Rashdan Nasaruddin memberi idea untuk menggalakkan usahawan muda menceburi bidang perniagaan ‘mobile’ (bergerak) dari rumah ke rumah dengan lebih fleksibel, murah dan mudah bagi mereka yang baru menapak dalam dunia perniagaan.

Najib melahirkan perasaan gembira melihat rakan dalam talian begitu bersemangat membincangkan masa depan negara khususnya untuk Bajet 2018 yang akan dibentangkan penghujung Oktober ini.

“Inilah yang saya sentiasa tekankan dalam kepimpinan saya, yakni pendekatan dari bawah ke atas, atau ‘bottom-u’´ apabila menggubal atau merancang sesuatu dasar. Suara dan aspirasi majoriti rakyat akan sentiasa menjadi panduan kepada kerajaan dalam usaha membawa Malaysia ke arah status negara maju dan berjaya, ” katanya.

Beliau juga mempelawa rakyat Malaysia untuk mengemukakan idea dalam pembentukan Bajet 2018 melalui https://bajet2018.najibrazak.com. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast