Mustafar Ali
PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara bagi mengelakkan anggota kumpulan anasir jahat memasuki Malaysia atau menjadikan negara ini sebagai transit ke negara ketiga.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafar Ali memberitahu Sinchew Daily, langkah-langkah baharu telah dilaksanakan untuk memerangi masalah sindiket jenayah dan keganasan antarabangsa yang semakin serius.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah orang dikehendaki agensi luar negara seperti Polis Antarabangsa (Interpol) kerana ia merupakan maklumat sulit.
Mustafar bagaimanapun memberitahu bahawa sebanyak 620,000 rakyat Malaysia telah disenarai hitam dan disekat perjalanan mereka.
Katanya, rakyat Malaysia tersebut telah disenarai hitam oleh agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Insolvensi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Australia telah menghantar pegawai perhubungan ke lapangan terbang luar negara yang menjadi destinasi transit utama untuk menyekat ‘tetamu tidak dialu-alukan’ daripada memasuki negara itu.
Pegawai Australia itu dilaporkan ditempatkan di Malaysia, Singapura dan China yang merupakan hab pengangkutan udara penting untuk ke Australia.
Golongan yang tidak dialu-alukan Australia termasuk pengganas, penjenayah seks kanak-kanak, ahli kongsi gelap dan pengedar dadah. – MalaysiaGazette