Home Dunia Qatar sedia bincang tuntutan 4 negara Arab

Qatar sedia bincang tuntutan 4 negara Arab

Qatar
UAE, Arab Saudi, Bahrain dan Mesir melaksanakan boikot terhadap Qatar pada 2017 dengan memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan ke atas negara kecil yang kaya itu apabila mendakwa ia menyokong keganasan.

DOHA – Pemerintah Qatar telah memanggil Putera Mahkota Arab Saudi untuk membincangkan krisis antara Doha dan empat negara Arab, menurut media kedua-kedua negara.

Emir Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani berkata, beliau bersedia untuk membincangkan tuntutan yang dibuat oleh Arab Saudi dan tiga negara lain.

Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar sejak 5 Jun lalu selepas Qatar dituduh menyokong keganasan.

Bagaimanapun, Qatar dengan tegas menolak dakwaan tersebut.

Pemimpin Qatar telah bercakap dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman pada hari Jumaat.

“Semasa panggilan yang dibuat, Emir Qatar menyatakan hasratnya untuk duduk di meja dialog dan membincangkan tuntutan empat negara untuk memastikan kepentingan semua,” menurut laporan agensi berita Arab Saudi, SPA.

SPA berkata, butiran pertemuan itu akan diumumkan selepas Arab Saudi mencapai persetujuan dengan Bahrain, Mesir dan UAE.

Tetapi tidak lama selepas itu, SPA menuduh media Qatar cuba memutarbelitkan fakta mengenai panggilan telefon antara dua pemimpin, sambil menambah sebarang dialog kini “digantung”.

Panggilan telefon itu datang selepas Presiden Donald Trump bercakap secara berasingan dengan pemimpin Arab Saudi, UAE dan Qatar.

“Trump menekankan perpaduan di antara rakan-rakan Arab dan Amerika Syarikat adalah penting untuk mempromosikan kestabilan serantau dan menentang ancaman Iran,” kata White House dalam satu kenyataan.

Ia menambah “semua negara harus mematuhi komitmen … untuk mengalahkan keganasan, memotong pembiayaan untuk kumpulan pengganas dan memerangi ideologi ekstremis”. – MalaysiaGazette