Home Dunia Taufan Irma dijangka melanda Florida esok

Taufan Irma dijangka melanda Florida esok

Sebuah kawasan di Pulau St Martin dilanda banjir akibat Taufan Irma. foto Agensi

FLORIDA – Taufan Irma dengan kelajuan angin 300 kilometer sejam dijangka melanda Florida esok, menjadikannya taufan terbesar kedua yang ‘membelah’ tanah Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa minggu, lapor CBN News.

Meskipun taufan Irma boleh berubah-ubah dan ketepatan arah tidak menentu, kekuatannya dijangka kekal sekurang-kurangnya kategori empat sebelum tiba di Florida.

Sebelum ini, Taufan Harvey telah melanda Texas dan Louisiana sehingga menyebabkan 60 maut dan kerosakan harta benda dianggarkan bernilai AS$180 bilion (RM760 bilion).

Susulan itu, Gabenor Florida, Gabenor Rick Scott mengarahkan kawasan pantai dan Florida Keys yang menjadi tumpuan pelancong dikosongkan sepenuhnya.

“Taufan itu amat kuat dan bahaya. Jangan sesekali abaikan arahan pemindahan. Ingat, kita boleh membina kembali rumah yang musnah namun kita tak boleh membina nyawa.

“Semua penduduk Florida perlu bersedia untuk dipindahkan,” kata Scott.

Terdahulu, Taufan Irma memusnahkan beberapa pulau di Carribbean sehingga menyebabkan 19 orang terbunuh.

Pada masa sama, Taufan Jose yang berada di belakang Irma (angin selaju 250 km/j) kini meningkat ke kategori empat dengan kelajuan angin 200 kilometer sejam dan gabungan kedua-dua taufan itu boleh membawa kemusnahan besar-besaran. -MalaysiaGazette