Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengunjungi rumah Allahyarham Wan Mohd. Zamri Wan Zakaria, salah seorang jemaah haji yang meninggal dunia ketika di Mekah di Kampung Ketil

TUMPAT – Jemaah haji yang uzur sehingga tidak dapat melaksanakan ibadah tersebut biarpun sudah tiba di Mekah akan mendapat peluang kedua apabila Lembaga Tabung Haji (TH) memulangkan semula kos haji yang bernilai RM9,980.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemulangan kos tersebut melibatkan jemaah yang jatuh sakit seperti tidak sedarkan diri sehingga tidak dapat melakukan wukuf di Arafah.

Beliau berkata, untuk itu, TH akan memberikan keutamaan kepada mereka untuk menunaikan haji pada tahun yang berikutnya.

“Kita melaksanakan tanggungjawab sosial ini kerana Tabung Haji adalah institusi Islam yang dibangunkan untuk rakyat bukannya untuk mengaut keuntungan,” katanya kepada pemberita ketika mengetuai rombohan TH mengunjungi rumah Allahyarham Wan Mohd. Zamri Wan Zakaria, salah seorang jemaah haji yang meninggal dunia ketika di Mekah di Kampung Ketil di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian, air zam-zam dan kurma kepada keluarga Allahyarham.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membawa agenda besar untuk mengetengahkan isu etnik Rohingya di Myanmar ketika bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Perdana menteri akan ke AS dan bertemu Donald Trump dan salah satu agenda besar paling besar berkenaan Rohingya.

“(Perkara) ini tidak boleh dipolitikkan, hal-hal melibatkan kemanusian,” katanya – MalaysiaGazette