Home Nasional Hutan simpan Silabukan, Sabah diceroboh

Hutan simpan Silabukan, Sabah diceroboh

LAHAD DATU – Jabatan Perhutanan Sabah mendedahkan terdapat kira-kira 4,000 hingga 5,000 hektar kawasan hutan simpan di Silabukan, Lahad Datu diceroboh dengan penanaman termasuk sawit secara haram.

Ketua konservator jabatan itu, Datuk Sam Mannan berkata, bagaimanapun penceroboh telah diusir dan pokok haram yang ditanam turut ditumbangkan.

Beliau berkata berikutan pencerobohan itu, kerajaan terpaksa menanggung kos tinggi bagi aktiviti pemuliharaan kawasan hutan simpan tersebut.

“Mengambil contoh sebahagian kawasan hutan simpan di Sapagaya, Ulu Segama dan Malua yang diceroboh, kami sedang dalam proses memulihkan semula kawasan itu melibatkan peruntukan RM1.6 juta dan kos ini belum masuk kos maintenance,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program penanaman satu juta pokok peringkat daerah Lahad Datu di Hutan Simpan Tanjung Tumunong Hallo di negeri Sabah.

Program itu dirasmikan wakil rakyat Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal yang menyaksikan 5,000 pokok hutan pelbagai jenis termasuk pokok Kapur, pokok Seraya, pokok Keruing di tanam melibatkan kawasan lebih 1000 hektar.

Dalam pada itu, Sam berkata, sejak 2010 hingga kini, seramai 250 pesalah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah enakmen perhutanan.

Sementara itu, Yusof berkata, program penanaman anjuran Mahkamah Lahad Datu bersama Jabatan Perhutanan Sabah berupaya mendidik generasi muda tentang kepentingan menjaga alam semulajadi.

“Program ini juga merupakan ibadat untuk memakmurkan bumi dengan berbakti pada tanah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi swasta tampil bersama-sama menjaga hutan bagi kelangsungan hidup.-MalaysiaGazette