Pas malam ini mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.
Pas malam ini mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

KUALA LUMPUR – Kekuatan Pas tidak bergantung sepenuhnya kepada jumlah kerusi diperolehi dalam pilihan raya seperti mana parti politik lain bakal berkubur jika ketiadaannya.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebaliknya Pas terus berkembang dan semakin kuat berdasarkan jumlah kemasukan ahli yang semakin bertambah serta berkualiti.

“Pas tidak rebah kalau ada pemimpin yang rebah dalam perjalanan perjuangannya. Pas terus tegak bersama Islam yang ditegaskan dalam Perlembagaan diterima oleh semua parti politik di awal kemerdekaan.

“Pas tidak boleh dikuburkan dengan jatuh kerajaan atau hilang kerusinya, bahkan Pas bangkit semula setelah ditendang keluar daripada BN pada 1978,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata, mana-mana pihak yang cuba mengugut Pas hanya berdasarkan kerusi pilihan raya dan kedudukan dalam kerajaan perlu mengenali parti Islam itu terlebih dahulu sebelum membuat ancaman tersebut.

“Tiba-tiba Pas bangkit semula, sehingga pengerusi BN di masa itu terpaksa memanggil kalangan berjenama Islam bagi menyelamatkan diri kerana kebangkitan semula Pas.

“Rupanya bukan bangkitnya hantu kubur tetapi bangkit bersama Islam yang mulia dan tidak boleh dipadamkan cahayanya. Sebaliknya pemimpin BN yang mengkhianati pula yang terpelanting keluar daripada partinya sendiri,” katanya.

Katanya, Pas juga tidak mengharapkan Pakatan Harapan (PH) yang hanya bergantung harapan dalam kabinet bayangan dan konsep matlamat menghalalkan cara yang lemah.

“Pas tidak mengharapkan PH kerana mengenali semua mereka yang terlibat dengan penubuhannya yang tidak boleh dipercyai harapannya,” katanya.

Tambahnya, kerusi pilihan raya hanya alat dan wadah melaksanakan kewajipan dan sesiapa yang duduk di atasnya wajib menunaikan amanah dan membantu orang lain.

“Jangan dapat kerusi sahaja tanpa menunaikan amanah menegakkan Islam, tanpa menafikan betapa pentingnya kerusi yang dapat, dan Pas boleh berpijak bersama Islam kalau dinafikan kerusinya sekalipun.

“Pas tetap berusaha mendapatkan kerusi bagi memimpin atau menjadi pembangkang yang menasihat, bukan merosak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette