KOTA TINGGI – Struktur Jambatan Sungai Johor di Lebuhraya Senai-Desaru di sini berada dalam keadaan selamat dan tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya selepas dilanggar sebuah kapal semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Lebuhraya Senai-Desaru, Mohamad Yasrib Mohamed Shariff berkata, jaminan tersebut diberikan selepas hasil pemeriksaan yang sudah dijalankan oleh pasukan teknikal pihaknya.

“Pihak Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan pemeriksaan dan penilaian terhadap keadaan struktur jambatan dan dipastikan selamat.

“Sehubungan itu, Jambatan Sungai Johor adalah selamat untuk digunakan dan laluan boleh dilalui seperti biasa. Untuk makluman, kapal tersebut telah dialihkan pada pukul 3.16 minit petang semalam.

“Pihak SDEB sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan akan terus memantau keadaan struktur jambatan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna lebuh raya sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau mengingatkan para pengguna agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memandu dengan berhati-hati serta mengikuti sebarang arahan keselamatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Pihak SDEB katanya, merakamkan penghargaan kepada semua pengguna atas kerjasama yang diberikan.

Terdahulu tular sebuah kapal hanyut berhampiran Jambatan Sungai Johor kira-kira pukul 2.30 petang semalam.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Sebuah kapal hanyut melanggar Jambatan Sungai Johor di Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi semalam

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here