Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid
KUALA LUMPUR – Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) diminta mengeluarkan laporan penuh berhubung kerosakan perkhidmatan keretapi aerotrain yang menghubungkan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan bangunan satelit.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, laporan itu perlu diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dengan kadar segera memandangkan ia bukan kerosakan kali pertama.

“Saya musykil sekiranya terdapat sesuatu yang tidak kena dan saya ingin menggesa MAHB memberi laporan penuh masalah kerosakan perkhidmatan itu kepada Kementerian Pengangkutan supaya masalah sebenar dapat diketahui.

“Kejadian ini sudah masuk kali kedua dalam tempoh tiga bulan. Dua tahun lalu perkhidmatan tersebut turut mengalami kerosakan teknikal dan menyebabkan ratusan penumpang terkandas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Aerotrain yang menghubungkan terminal utama KLIA dengan bangunan satelit itu rosak memaksa penumpang berjalan kaki di atas landasan.

Insiden itu menjadi tular apabila rakaman video di media sosial menunjukkan kira-kira 20 penumpang berjalan kaki ke terminal utama KLIA pada jam 5.30 petang.

Abdullah Sani juga berkata, MAHB perlu meneliti semula perkhidmatan aerotrain yang mengalami masalah kerosakan berulang dan ia perlu ditukar sekiranya melebihi 20 tahun.

“Jika perlu dibaiki sekali pun, lakukanlah penyenggaraan segera kerana itu adalah tanggungjawab MAHB untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang dan memastikan keselamatan penumpang,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai MAHB ketika berdepan situasi berkenaan dengan membiarkan penumpang turun ke landasan.

“Tindakan penumpang yang mengambil langkah sendiri itu jelas membahayakan nyawa mereka dan kita tidak mahu kejadian tidak diingini terjadi.

“Saya juga ingin mencadangkan agar menambah perkhidmatan aerotrain di KLIA bagi mengelak kesesakan dan kerosakan teknikal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette