Teng Chang Khim
Teng Chang Khim

KUALA LUMPUR – DAP Selangor mengatakan penganjuran pesta arak pada Oktober depan tidak perlu dihalang memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan terdiri daripada masyarakat majmuk.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, mereka menghormati tindakan Pas yang menentang penganjuran pesta tersebut tetapi menegaskan aktiviti tersebut tidak melanggar undang-undang dan boleh diteruskan.

“Ini satu demokrasi jadi semua orang ada kebebasan untuk menentang tetapi orang lain juga ada kebebasan untuk menguruskan yang tidak menyalahi undang-undang.

“Jadi, dia juga kena fahamlah ini masyarakat majmuk. Malaysia ini bukan ada orang Pas sahaja, ramai orang bukan Pas dan majoriti lebih pada orang bukan Pas,” beliau dipetik berkata.

Chang Kim yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor juga berkata, pihak penganjur boleh meneruskan pesta tersebut dan tidak perlu menghiraukan tentangan Pas.

“Dia boleh teruskan protes dan kita boleh teruskan dengan aktiviti,” katanya.

Pas sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada akan mengadakan protes terhadap penganjuran pesta arak Better Beer Festival 2017 yang dijadual di ibu negara pada 6 Oktober depan.

Ini bukanlah kali pertama Pas membantah acara seumpama itu. Pada 2014, parti itu lantang membantah penganjuran pesta ‘Octoberfest’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast