Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia tidak dapat lari daripada isu peningkatan kos sara hidup sekiranya mahu negara ini berubah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2050.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery CheekĀ berkata, perkara yang lebih penting dalam isu berkenaan ialah soal kemampuan rakyat dalam memiliki kekayaan ketika pendapatan mereka semakin meningkat.

“Walaupun usaha kerajaan yang baik mengekalkan kemampuan sara hidup ke tahap terbaik, tapi kalau kita lihat trend negara-negara maju berpendapatan tinggi, kita tak boleh lari daripada aspek bahawa kos hidup akan meningkat

“Tiada negara maju berpendapatan tinggi, tapi barangnya semua murah. Siapa kata Korea, Jepun dan Singapura barangnya murah? Isunya bukan soal mahal, isunya rakyat mampu atau tidak.

“Memang mahal tetapi rakyatnya mampu kerana rakyaknya semua berpendapatan tinggi, ia sepatutnya baik,” katanya berucap merasmikan majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2017, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Azbidi Zainal dan Ketua Kewangan Agrobank, Masaat Awadz.

Beliau berkata, kemampuan rakyat itu lebih penting daripada soal kos sara hidup meningkat dengan mewujudkan kekayaan baharu menerusi keusahawanan dalam sektor pertanian yang kini menjana pendapatan tinggi.

“Mana lebih baik, waktu murah, orang tidak mampu, berbanding waktu mahal orang mampu.

“Dahulunya sumber kekayaan selalu dikaitkan dengan pekerjaan,” katanya. -MalaysiaGazette