Kerk Chee Yee
MELAKA – Anak kepada bekas Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock, dijangka bertanding di Kota Melaka pada pilihan raya akan datang.
Sinchew Daily melaporkan, pencaturan DAP itu bertujuan meleraikan kemelut dalaman di Melaka yang mencapai kemuncaknya apabila wakil-wakil rakyat veteran memilih meninggalkan parti itu baru-baru ini.
Anak Kim Hock iaitu Kerk Chee Yee mula mencuri perhatian selepas ayahnya yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Melaka meninggal dunia akibat penyakit kanser baru-baru ini.
“DAP bimbang Sim Tong Him (Ahli Parlimen Kota Melaka) akan bertanding sebagai calon bebas dan memecah-belahkan undi, sekali gus memberi kemenangan kepada MCA.
“Disebabkan Kim Hock mempunyai hubungan rapat dengan Tong Him, pemilihan anak Kim Hock untuk bertanding di Kota Melaka akan menenteramkan hati penyokong-penyokong Tong Him.
“Penyokong Tong Him dipercayai akan memberi laluan jika anak Kim Hock yang kini merupakan setiausaha politik kepada Lim Kit Siang bertanding di Kota Melaka,” demikian lapor Sinchew Daily.
DAP dilaporkan mahu mengelakkan calon daripada dua puak bertentangan di Melaka walaupun calon tempatan dilaporkan lebih sesuai untuk bertanding.
“Selain anak Kim Hock, terdapat juga khabar angin bahawa DAP akan meletakkan bidan terjun dari Kuala Lumpur.
“DAP Wilayah Persekutuan selama ini telah menunjukkan prestasi yang baik dengan memenangi lima kerusi Parlimen yang ditandingi.”