Home Dunia Benarkan penduduk Rohingya jalani kehidupan mereka – PBB

Benarkan penduduk Rohingya jalani kehidupan mereka – PBB

Seorang sukarelawan dari Pertubuhan Sikh membantu kanak-kanak Rohinya di sempadan Bangladesh. foto Agensi

GENEVA – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa Myanmar menghentikan keganasan ke atas penduduk Rohingya.

Gesaan itu dibuat selepas Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, tentera Myanmar melakukan pembersihan etnik ke atas penduduk Islam Rohingya.

Susulan mesyuarat tertutup yang disertai oleh 15 ahli majlis termasuk China telah melahirkan kebimbangan tentang operasi keselamatan di Rakhine, mahu langkah-langkah segera diambil untuk menamatkan keganasan tersebut.

Ia merupakan kali pertama majlis itu bersetuju untuk bersama-sama dalam menangani krisis yang dicetuskan oleh tentera Myanmar selepas pemberontak Rohingya dilaporkan melakukan serangan ke atas pasukan keselamatan pada akhir bulan lalu.

Kira-kira 380,000 penduduk Rohingya terpaksa melarikan diri ke sempadan Bangladesh dan setakat ini gesaan supaya Aung San Suu Kyi melindungi penduduk Rohingya semakin meningkat.

Jurucakap Suu Kyi sebelum ini berkata, pemimpin Myanmar itu akan memberikan ucaptama pada minggu depan mengenai perdamaian dan penyatuan di Myanmar.

Pada sidang akhbar di New York, Guterres menyeru menghentikan kempen ketenteraan di Rakhine dan mengatakan bahawa keganasan ke atas Rohingya itu merupakan pembersihan etnik.

“Saya menyeru pihak berkuasa Myanmar untuk menggantung tindakan ketenteraan, menamatkan keganasan, menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengiktiraf hak kembali semua yang terpaksa meninggalkan negara tersebut,” kata Guterres.

Ditanya apakah beliau bersetuju berlaku pembersihan etnik Rohingya, Guterres berkata: “Apabila satu pertiga penduduk Rohingya terpaksa melarikan diri ke negara lain, bolehkah anda mencari kata yang lebih baik untuk menggambarkannya?”

Seramai 1.1 penduduk Rohingya telah menjadi mangsa diskriminasi di Myanmar, yang mana kewarganegaraan mereka ditolak walaupun telah lama menetap di negara tersebut.

Guterres berkata, kerajaan Myanmar perlu memberi kerakyatan kepada penduduk Rohingya dan membenarkan mereka menjalani kehidupan secara normal. – MalaysiaGazette