HINANYA Kelantan apabila menjadi satu-satunya pasukan negeri yang bertanding di Liga FAM pada tahun 2005. Mungkin sedar daripada keadaan tersebut, Kelantan bangkit menjadi gergasi bola sepak pantai timur.

Maruah rakyat negeri ini telah ditebus dengan kejayaan yang amat gemilang. Almari di Rumah Kafa, di Chicha, Kota Bharu mula penuh dengan piala. Kejayaan tidak datang bergolek. Kejayaan harus dicipta dengan usaha gigih pendokongnya.

Bermula dari Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada tahun 2004 sebelum memberi laluan kepada Tan Sri Annuar Musa pada 2007.

Prestasi pasukan tersebut meningkat secara mendadak. Tanpa disangka-sangka. Kelantan dijenamakan semula The Red Warriors. Rakyat dari hulu Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh, Bachok dan mudah kata dari seluruh negeri mula memenuhi stadium.

Strategi pemasaran telah mengangkat pemain menjadi bintang. Majlis pengenalan pemain pada setiap musim hampir pecah dewan dipenuhi peminat. Sehinggakan peminat sudah menjadi histeria membakar trak polis dan merusuh pada 9 April 2009. Hebat sangat bola sepak Kelantan pada ketika itu. Fenomena di seluruh negara.

Dan harus diingat Kafa tidak seperti persatuan bola sepak negeri lain yang mendapat segala macam bantuan daripada kerajaan negeri. Kafa bergerak sendirian malah mereka juga terpaksa membayar levi dan cukai hiburan untuk setiap perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Kemuncak kejayaan TRW pada tahun 2012 dengan merangkul kejayaan trebel dan selepas itu, prestasi semakin merosot. Punca utama ialah masalah kewangan. Kafa tidak mampu bersaing selepas pasukan-pasukan lain yang telah meningkatkan jumlah bajet tahunan mereka bagi mendapatkan pemain yang lebih baik dan bayaran insentif yang lumayan.

Annuar juga tidak mampu bertahan. Beliau melepaskan jawatan tetapi masih membantu mencari dana TRW. Sebelum itu, pelbagai peristiwa menarik berlaku, seperti, tajaan bernilai RM16 juta daripada jutawan produk kesihatan Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali deĀ­ngan Dr. Vida yang mengenakan 33 syarat termasuk mewarnakan stadium dengan warna merah jambu.
Tetapi tajaan dua tahun itu terbengkalai ditengah jalan.

Hari ini, Kafa sekali lagi mencipta sejarah. Seorang wanita telah diangkat menjadi Presiden untuk menerajui badan induk bola sepak tersebut. Ahli perniagaan, Bibi Ramjani Ilias Khan telah dipilih menjadi oleh ahli gabungan untuk menewaskan muka lama, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga bekas Naib Presiden Kafa.

Umum mengetahui bahawa pemilihan tersebut melibatkan dua kem iaitu Bibi Ramjani yang disokong oleh Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah manakala Muhammad Nasir yang didokong oleh sebahagian besar ahli eksekutif Kafa.

Penolakan terhadap Muhammad Nasir dan pasangan Datuk Rosmadi Ismail adalah disebabkan mereka dilihat masih dibayangi oleh Annuar atau masih ramai yang beranggapan kedua-dua tokoh itu hanyalah proksi kepada Ahli Parlimen Ketereh tersebut.

Perwakilan juga mengambil risiko yang amat tinggi apabila menolak semua muka lama kecuali Afandi yang mana tidak siapa pun tahu keupayaan mereka untuk mengendalikan persatuan bola sepak walaupun kebanyakan muka baharu adalah tokoh-tokoh korporat,

Biarpun begitu, tidak sampai 24 jam Kongres Kafa Ke-60 selesai, wujud khabar angin bahawa akan ada muka baharu termasuk daripada naib presiden akan meletakkan jawatan kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan baharu seperti mana yang dilakukan oleh dua calon naib presiden sebelum ini.

Sesungguhnya Bibi Ramjani menghadapi cabaran yang amat getir dalam mengendalikan persatuan ini. Beliau terpaksa berhadapan harapan yang tinggi daripada penyokong serta menyelesaikan kemelut kewangan yang serius dihadapi Kafa pada masa kini.

Dikhabarkan Kafa mempunyai hutang termasuk tunggakan gaji sebanyak RM5 juta pada tahun ini. Dan pemain menuntut gaji untuk bulan Julai dan Ogos yang tertunggak diselesaikan segera.

Menguruskan persatuan bola sepak tidak sama seperti mengurus syarikat koporat. Banyak perkara yang harus dititik beratkan. Pun begitu, ibu tunggal berusia 46 tahun itu pastinya mempunyai perancangan yang tersendiri jika tidak masakan beliau sanggup menawarkan diri menjadi presiden.

Harapnya, seni bola sepak dibumi ini tidak berkubur dengan langkah-langkah di luar gelanggang. – MalaysiaGazette