Mohd Hashim Abdullah

BANGI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendekati mahasiswa berusia 21 tahun dan ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Ia merupakan pendekatan terbaharu suruhanjaya itu untuk memastikan golongan sasaran tersebut menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warga negara ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, program mendekati mahasiswa di kolej komuniti, politeknik, universiti awam dan swasta dan mendapati golongan sasaran berumur antara 21 hingga 39 tahun paling ramai tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi.

“Kalau orang tua sudah biasa mengundi tahu akan proses mengundi, tetapi golongan belum daftar ini tidak, tak pasti sebab mereka tidak mahu daftar sebagai pengundi.

“Sebab itulah kita turun padang memberi pendidikan pilihan raya dan berjaya mendaftarkan seramai 2,445 mahasiswa sebagai pengundi baharu di insitutusi pendidikan seluruh negara daripada 25,000 yang disasarkan SPR,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pendidikan Pengundi SPR bersama Kementerian Warga Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di Kampus Pendidikan Islam, Bangi.

Mohd Hashim berkata, program berkenaan bertujuan mendidik mereka yang berusia 19 dan 20 tahun di institusi pendidikan memahami proses pilihan raya sebelum mendaftar sebagai pengundi pada usia 21 tahun.

Kata beliau, setakat suku kedua tahun ini, seramai 14.6 juta rakyat Malaysia layak mengundi dan 3.7 juta orang masih belum mendaftarkan sebagai pengundi.

Walaupun inisiatif mendaftar mahasiswa berusia 21 tahun ke atas memberi perkembangan positif, beliau mengakui pihaknya berdepan cabaran besar untuk memastikan kesemua yang berdaftar keluar mengundi.

“Apa gunanya kita mendaftarkan mahasiswa berusia 21 tahun ke atas menerusi program ini, tetapi pada akhirnya mereka tidak dapat keluar mengundi.

“Ini yang kita akan bincangkan bersama semua pengurusan tertinggi setiap institusi pendidikan untuk memastikan mahasiswa yang berdaftar sebagai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan tempoh sah laku kerajaan semasa adalah sehingga 24 Jun 2018 sebelum Parlimen terbubar sendiri sekiranya tidak dibubarkan sebelum itu.

“Jadi kita hanya ada tempoh kurang setahun dan PRU14 boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Jadi kita kena memastikan golongan muda berkenaan tidak dibiarkan tanpa mengundi.

“Dalam perkembangan program mendaftarkan pelajar universiti awam dan Swasta, kita juga difahamkan proses pilihan raya kampus dijalankan hampir sama seperti proses pilihan raya.

“Kita juga boleh melantik pegawai pendaftar kita di setiap insititusi pendidikan untuk menjalankan simulasi pilihan raya dengan perkenan Yang Dipertuan Agong,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, SPR juga sudah bersedia daripada segi persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan mengguna pakai kaedah sebelum ini sewaktu proses mengundi.

Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pengarah SPR dari empat negeri di utara tanah air untuk mengesahkan persiapan logistik menjelang PRU.

Justeru katanya pihak juga akan mengadakan pertemuan dengan semua jabatan dan agensi penguatkuasa beruniform untuk melihat berapa ramai antara mereka yang sedang dalam tugas (on duty) dapat keluar mengundi. – MalaysiaGazette