Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan keras ke atas penganjur pesta tarian gay besar-besaran White Party Bangkok yang akan didakwa diadakan di ibu kota tidak lama lagi.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, aktiviti seperti itu perlu diharamkan kerana ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Beliau berkata, pihak penganjur program berkenaan tidak menghormati suasana di negara ini yang mementingkan keharmonian dan tatasusila yang baik.

“Islam adalah agama bagi Persekutuan Malaysia dan lain-lain agama boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini menunjukkan penduduk di negara ini majoritinya adalah Islam.

“Kewujudan gerakan politik yang agak ekstrem sejak akhir-akhir ini membawa bersama tabiat buruk merosakkan akhlak seperti seks golongan sejenis dan perlakuan seks bebas sehingga mereka sudah berani mengadakannya di dalam negara secara terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Musa juga kesal pihak berkenaan yang mempunyai agenda menjadikan negara huru-hara selain turut menyokong pelakuan songsang dan tidak sihat.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas penganjuran program itu yang jika tidak dibendung akan menyebabkan perkara-perkara buruk termasuk jenayah.

“Jika aspek keselamatan ketika pesta gay itu tidak dikawal dan sesuatu berlaku, ada potensi berlaku kekecohan dan jenayah lain juga akan berlaku seperti pergaduhan.

“Perbuatan menagih dadah dan mengedar dadah juga mungkin akan berlaku dengan berleluasa pada program itu nanti,” katanya.- MalaysiaGazette