Azman Ayob

JOHOR BAHRU – Seramai 282 orang ditahan daripada 54 serbuan berkaitan perjudian dalam talian dijalankan polis negeri ini menerusi Operasi Dadu Khas digerakkan bermula 10 September lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu, sebanyak 1,010 mesin judi dan wang tunai RM20,819 dirampas.

Menurutnya, operasi sejajar usaha membanteras habis-habisan kegiatan perjudian bermesin itu akan terus dipergiatkan berterusan sehingga pihak polis dapat melumpuhkan sepenuhnya kegiatan tersebut.

“Matlamat operasi adalah membanteras kewujudan aktiviti perjudian haram yang wujud secara berselindung dan bersembunyi walaupun tindakan tegas telah diambil sebelum ini.

“Kepimpinan PDRM Johor memandang serius semua kegiatan berbentuk sindiket daripada terus menular dan mebelenggu kehihupan masyarat seharian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, bagi memastikan aktiviti itu dapat dibanteras sepenuhnya, Polis Johor telah bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan melakukan pemotongan eletrik di premis yang menjalankan kegiatan mesin perjudian dalam talian.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2017, sebanyak 120 buah premis yang menjalankan aktiviti mesin perjudian telah dipotong bekalan elektrik.

“Dalam tempoh sama, polis telah menyerbu 674 premis yang disyaki menjalankan kegiatan mesin perjudian haram, menahan seramai 4,079 orang, sebanyak 12,999 mesin judi dan wang tunai RM273,489 dirampas,” katanya.

Azman memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 223 kes telah dituduh di mahkamah. – MalaysiaGazette