Bantahan penduduk menerima reaksi dari pengurusan Giant.
PETALING JAYA – Pasar Raya Giant di Bangi telah memberhentikan penjualan minuman keras berikutan bantahan daripada penduduk selain catatan jualan yang tidak baik.
Nanyang Siang Pau melaporkan, pasar raya di Selangor itu berhenti menjual minuman beralkohol sejak 9 September yang lalu.
Menurut akhbar itu lagi, kedai serbaneka dan pasar raya di kawasan berhampiran juga memberhentikan penjualan minuman keras.
Sumber memberitahu, jualan minuman beralkohol di pasar raya Giant adalah sangat teruk iaitu tidak sampai RM2,000 setahun.
Selain faktor jualan, pasar raya itu juga membuat keputusan pemberhentian jualan minuman beralkohol kerana menghormati majoriti masyarakat.
“Sehingga 90 peratus penduduk Bangi ialah Melayu dan jualan arak juga sangat rendah dan tidak menguntungkan,” kata sumber.
Katanya lagi, sebuah kedai serbaneka di Bangi juga berhenti menjual minuman beralkohol selepas menerima aduan persatuan penduduk.
“Saya bagaimanapun difahamkan bahawa jualan yang teruk merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pemberhentian jualan arak,” katanya. – MalaysiaGazette