Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (dua kanan) diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga kanan) diberi penerangan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail (kanan) ketika melihat replika Projek Pembangunan Bersepadu Fasa 1 di Presint 5, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ni merasmikan Majlis Pecah Tanah Malaysia Exposition and Convention Centre (MyExpo) yang juga merupakan bakal menjadi pusat pameran terbesar di Malaysia menjelang tahun 2020.

Pembinaan pusat pameran yang menggabungkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu memulakan fasa pertama pembinaannya hari ini secara rasmi selepas dilancarkan.

Selain bakal menjadi pusat pameran terbesar dalam negara, ia mampu menarik lebih ramai pelancong, MyExpo juga membuka sebanyak 5, 000 peluang pekerjaan setelah siap pembinaannya kelak.

Najib, dalam ucapannya berkata, seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara semasa, sasaran tersebut bakal tercapai setelah projek berkenaan tamat sepenuhnya.

“Dengan keadaan semasa, negara kita telah berjaya menarik berjuta-juta pelancong dari luar negara jadi, kita perlu meletakkan penanda aras yang lebih tinggi dan baik untuk masa akan datang.

“Saya yakin dan percaya, dengan kewujudan MyExpo ini akan menarik lebih ramai pelawat dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

MyExpo bakal dilengkapi dengan fasiliti berteknologi tinggi serta mampu menampung sebanyak 60,000 orang dalam satu masa.

Kemudahan yang ditawarkan termasuk Dewan Plenari yang boleh memuatkan 5,000 orang, lapan buah dewan pameran yang boleh memuatkan 3,000 gerai, 12 dewan banquet, empat dewan seminar dan sembilan bilik mesyuarat selain 2,500 ruang letak kereta.

Projek itu terdiri daripada fasa pertama melibatkan pusat pameran lima tingkat daripada 23 kesemuanya termasuklah sebuah hotel bertaraf empat bintang dengan 300 buah bilik dan kawasan helipad.

Fasa kedua merangkumi pembinaan sebuah hotel bertaraf lima bintang dan fasa terakhir MyExpo City termasuk sebuah boutique mall, taman tema tertutup dan juga pangsapuri – MalaysiaGazette