KUALA LUMPUR – Pemandu, pemilik dan pegawai teknikal pasukan Formula 1 (F1) yang akan berlumba pada hujung minggu ini di Sepang melahirkan kesedihan mereka terhadap perlumbaan terakhir mereka di negara ini.

Bermula tahun depan Malaysia tidak lagi termasuk dalam kalender F1 berikutan langkah kerajaan tidak melanjutkan kontrak penganjurannya pada tahun depan susulan kejatuhan penjualan tiket dan penyiaran televisyen.

Rata-rata setiap pasukan tekad akan mempamerkan prestasi yang baik ketika berlumba pada litar yang serba mencabar, dengan selekoh terakhir yang tajam, beberapa selekoh yang boleh dipandu laju serta laluan lurus yang membuka ruang untuk memotong selain faktor cuaca yang tidak menentu.

Pelumba pasukan McLaren, Stoffel Vandoorne berkata, seperti Singapura, perlumbaan Grand Prix Malaysia merupakan perlumbaan pertama beliau di negara ini.

“Agak mengecewakan ia juga merupakan perlumbaan terakhir kami di sini,” jelasnya sambil menambah litar Sepang adalah mencabar dan berharap dapat menunjukkan potensi jentera yang dipandunya itu.

Pengarah Perlumbaan pasukan McLaren, Eric Boullier berharap pasukannya dapat mempamerkan prestasi yang baik di hadapan peminat sukan pemotoran Malaysia.

“Kami akan mengucapkan selamat tinggal kepada Litar Antarabangsa Sepang selepas selepas 19 tahun yang menyeronokkan,” ujarnya.

Ketua Mercedes-Benz Motorsport, Toto Wolff berkata, pasukannya mempunyai hubungan yang rapat dengan Malaysia menerusi jalinan kerjasama dengan Petronas.

“Rekod prestasi kami bercampur-campur di sini, tetapi karekter asas litar dengan selekoh-selekoh dan laluan lurus sesuai dengan jentera kami,” jelasnya.

Tambah beliau, pasukannya menyasar untuk memenangi perlumbaan terakhir Grand Prix Malaysia dengan meneruskan momentum yang baik.

Pemandu pasukan Force India, Sergio Perez berkata, perlumbaan di Malaysia amat bermakna kepada pemandu kelahiran Mexico itu.

“Ia di mana saya naik podium untuk pertama kali dalam Formula 1 pada 2012. Selepas Singapura, ia merupakan satu lagi perlumbaan yang panas. Sara rasa pada tahun lalu, ia merupakan perlumbaan paling panas pernah saya alami dalam karier saya, oleh itu saya jangka akan berpeluh dengan banyak pada Ahad ini!,” katanya.

Menurutnya, keadaan cuaca yang sukar diramalkan di Malaysia yang mana hujan lebat boleh berlaku pada bila-bila masa dan litar boleh kering dalam tempoh lima minit kerana persekitaran yang terlalu panas serta lembab merupakan cabaran utama kepada pelumba.

“Malaysia menganjurkan perlumbaan yang istimewa setiap tahun kerana cuacanya yang panas selain karekter litarnya. Saya sangat-sangat sedih melihat litar Sepang lenyap daripada kalender. Saya mahu melihat peminat di Malaysia pada perlumbaan lain dan berharap mereka terus mengikuti kami,” katanya.

Seorang lagi pemandu Force India, Esteban Oco yang sedih dengan penganjuran terakhir itu berkata, beliau akan merindui untuk berlumba di litar tersebut.

Pemandu pasukan Haas, Kevin Magnussen berkata, beliau sentiasa seronok berlumba di litar Sepang.

“Litarnya mempunyai beberapa selekoh yang boleh dipandu laju dan ini membuatkan pemandu rasa seronok. Saya sedih melihat ia berlalu kerana ia telah menganjurkan perlumbaann untuk sekian lama,” katanya.

Tambah beliau, selekoh 5 dan selekoh 6 merupakan bahagian litar yang beliau suka kerana boleh memandu laju dan mana-mana selekoh yang boleh dipandu laju dalam perlumbaan F1 adalah sesuatu yang menarik.

Pengarah Urusan Renault Sport Racing Managing, Cyril Abiteboul berkata, penganjuran perlumbaan F1 di Malaysia akan sentiasa dikenang pasukannya.

Tambah beliau, Renault telah memenangi enam perlumbaan di sini, memenangi enam petak pertama dan mencatatkan pusingan terpantas sebanyak empat kali selama 18 tahun berkumba di Malaysia.

Tambah beliau, paling membanggakan apabila Fernando Alonso merekod sejarah dengan menjadi pemadu termuda F1 berada di petak pertama pada 22 Mac 2003.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Grand Prix Malaysia dan semua yang terlibat di Litar Antarabangsa Sepang,” katanya.

Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo teruja untuk berlumba di Sepang untuk kali terakhir bagi meneruskan kemenangan yang dikecapinya di litar yang sama pada tahun lalu.

“Kemenangan saya pada tahun lalu di Malaysia adalah tidak dijangka sama sekali. Saya tidak menjangka jentera kami sesuai dengan litar ini tetapi masalah yang menimpa Lewis Hamilton membuka ruang dan saya berjaya menghalang Max (Verstappen) pada akhir perlumbaan bagi memenangi perlumbaan. Ini menunjukkan anda tidak tahu apa yang akan berlaku,” kataya. – MalaysiaGazette