Home Nasional Abai keselamatan: 76 sekolah tahfiz diberi notis

Abai keselamatan: 76 sekolah tahfiz diberi notis

Tan Sri Noh Omar

TANJONG KARANG – Sebanyak 144 notis dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap 76 sekolah tahfiz dan rumah anak yatim kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, pengeluaran notis itu adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas 213 sekolah tahfiz dan rumah anak yatim di seluruh negara.

Beliau berkata, antara pengabaian aspek keselamatan yang didapati semasa pemeriksaan dijalankan adalah tiada laluan kecemasan, tiada alat pemadam api dan pendawaian elektrik yang usang.

“Pemilik sekolah tahfiz dan rumah anak yatim perlu patuh terhadap arahan notis berkenaan, sekiranya gagal mereka boleh didenda dan dipenjara.

“Pemeriksaan ini bermula sejak 23 Sept lalu dan JBPM dijangka melengkap pemeriksaan semua sekolah tahfiz dan anak yatim yang berasrama di seluruh negara dalam tempoh sebulan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lapan sekolah tahfiz dan rumah anak yatim sekitar daerah ini, di sini semalam.

​​​​​​​​​​​​​​Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Menurut Noh, laporan lengkap pemeriksaan ini kemudian akan diserahkan kepada Kabinet untuk tindakan dan merangka langkah yang perlu diambil pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketika pemeriksaan, JBPM ada mengesyorkan supaya setiap asrama di sekolah tahfiz dan rumah anak yatim dipasang alat pengesan asap bagi mengesan kebakaran di peringkat awal.

Noh dalam pada itu turut menyeru pemimpin tempatan supaya memberi perhatian dan sumbangan terhadap keperluan sekolah-sekolah tahfiz dan rumah anak yatim di kawasan masing-masing.

“Syarikat swasta juga dialu-alukan untuk memberi sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat mereka.

“Kita tahu banyak sekolah tahfiz dan rumah anak yatim yang bergantung kepada sumbangan orang ramai dan ini merupakan antara punca mengapa pusat-pusat ini tidak mempunyai dana yang cukup untuk membaiki dan menambah baik bangunan mereka untuk mencapai piawaan keselamatan yang ditetapkan JBPM,” katanya. – MalaysiaGazette