PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertekad untuk memperkukuhkan kerjasama kedua-dua angkatan pertahanan keselamatan negara dalam berdepan sebarang bentuk ancaman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun memberi jaminan beliau bersama dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jenaral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor akan bekerjasama rapat untuk mencari kaedah terbaik memelihara keselamatan negara.
Ancaman menerusi alam siber mencabar teknologi keselamatan negara yang perlu dikemaskini mengikut keadaan semasa untuk menanganinya secara berkesan, katanya.
“Kita perlu bersiap sedia dan tidak boleh mengambil enteng dunia siber yang penuh dengan fakta tidak benar dan ancaman.
“Contoh terbaiknya dulu pengrekrutan anggota militan di negara Islam atau Daesh di Syria hanya secara fizikal dan pertemuan bersemuka sahaja.
“Kini semuanya berlaku secara maya di dunia siber, bayangkan 90 peratus anggota Daesh direkrut menerusi siber sehingga mempengaruhi ideologi rakyat di dunia ini,” katanya dalam sidang media Istiadat sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Putrajaya yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tambah Muhammad Fuzi, bagi tujuan itu pihak PDRM selari dengan Angkatan Tentera Malaysia sememangnya menyedari ancaman media sosial bukan sahaja dari segi fitnah serta ancaman tidak berdasarkan fakta.
“Yang mendukacitakan ialah ia mempengaruhi rakyat dan ini perlu diatasi dan sememangnya berdepan kesukaran betindak balas terhadapnya.
“Dalam perkara ini generasi muda perlu pandai menilai mana satu kaca dan permata supaya ia tidak mempengaruhi pemikiran rakyat yang boleh membawa malapetaka jika tidak dicegah awal,” katanya.
Bagi tujuan itu, katanya, polis sedang merujuk dengan pihak perundangannya untuk melihat akta mana yang boleh dikemaskini sebagai persiapan menghadapi cabaran alam siber.
“Persiapan itu kita menggembleng tenaga dengan Angkatan Tentera Malaysia yang dipelopori Panglima, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk mempersiapkan diri mengawal keselamatan rakyat dan negara.
Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi berkata, ancaman siber bukan lagi baharu untuk pertahanan negara ini.
“Ia memberikan peluang kepada organisasi ATM memperkukuhkan perisian teknologi siber sedia ada dan kaedah luaran untuk memperkemas pertahanan negara dari ancaman luar,” katanya.- MalaysiaGazette