Reggae Hostel memastikan keselamatan pengunjungnya terpelihara. foto Internet
PULAU PINANG – Sebuah rumah penginapan di Love Lane, Pulau Pinang menolak langganan pelawat dari Malaysia, Timur Tengah dan India, tetapi mengalu-alukan pelancong beg galas (backpacker) asing.
Hostel itu juga menyatakan dalam laman sesawangnya bahawa tempahan dari negara berkenaan adalah dianggap tidak sah.
Pengurus hostel yang dikenali sebagai Charlie berkata, penolakan pelancong India dan Timur Tengah bukan berniat mendiskriminasi, tetapi kerana pengalaman tidak baik dengan pelancong negara-negara berkenaan.
Jelasnya, pelancong dari negara tersebut sering mencetuskan pergaduhan dan mencuri harta hostel.
“Demi menjaga hak penginap dan memastikan ketenteraman hostel, kami menetapkan untuk tidak menerima tempahan pelancong India dan Timur Tengah,” katanya kepada Guang Ming Daily.
Menurutnya lagi, tempahan pelancong tempatan dari Malaysia ditolak atas faktor perniagaan kerana pelancong asing akan membeli pakej pelancongan dan melanggan perkhidmatan visa.
Walau bagaimanapun, Charlie berkata, pihak hostel akan menerima pelanggan rakyat Malaysia, Timur Tengah dan India yang bertandang ke hostel (walk-in) dan berbudi pekerti.
Katanya, semua penginap perlu disaring untuk mengelakkan kes kecurian dan kekecohan.
Ditanya tindakan hostel yang tidak menerima tempahan bilik oleh warga emas berumur 60 tahun ke atas, dia menjelaskan, hostel tidak mempunyai kemudahan lif dan tangga yang ada adalah agak mencuram yakni tidak sesuai digunakan orang tua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast