Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya (dua kiri) melakukan gimik pelancaran Aplikasi i-Dato sambil diperhatikan Pengarah My EK, Fadli Suberi (kanan) di Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahya sekali lagi menggesa agar orang ramai lebih peka dengan keperluan dan kebaikan menjadi penderma organ.

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang hampir menuju sebagai negara maju, peratusan rakyat Malaysia yang berikrar untuk menderma organ, masih kurang berbanding negara-negara lain.

“Di Malaysia kita kurang penderma oragan berbanding dengan negara luar, kita cuma ada hanya beberapa peratus saja daripada jumlah penduduk Malaysia yang berikrar menjadi penderma organ.

“Saya harap akan ada banyak lagi NGO yang ahli-ahlinya yang mahu berikrar sebagai penderma organ,” katanya pada Majlis Pelancaran Aplikasi i-Dato di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Hilmi, antara faktor utama masyarakat di negara ini jarang berikrar sebagai penderma organ adalah sikap was-was terutama dalam kalangan kaum Melayu yang ragu-ragu tentang hukum pendermaan organ mengikut hukum syarak.

Walhal menurutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan sudah lama membenarkan pendermaan organ dalam kalangan penganut agama Islam, tambah Hilmi.

“Di negara ini yang paling tinggi menderma daripda kaum Cina, kedua Melayu dan India paling kurang. Orang Melayu ni ramai lagi yang was-was sedangkan fatwa pernah dikeluarkan bahawa menderma organ ini tidak dihalang dalam Islam.”

Ketika ditanya berkenaan program-program kesedaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan kempen menderma organ, Hilmi memberitahu bahawa pihak kementeriannya sehingga hari ini giat menjalankan kempen di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

Namun, tahap kesedaran dan pengetahuan yang masih dangkal dalam kalangan masyarakat negara ini membantutkan usaha tersebut.

Justeru, beliau menggesa kepada semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), atau mana-mana individu yang faham dan celik berkenaan pendermaan organ ini, menjalankan ‘kempen’ dengan kaedah sendiri bagi menyedarkan orang lain, kepentingan menderma organ.- MalaysiaGazette