JOHOR BAHRU – Pelawak terkenal, Harith Iskander dan pelumba berbakat negara, Jazeman Jaafar dipilih menjadi ikon selebriti Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri Johor.

Kedua-dua mereka diperkenalkan pada Majlis Pelancaran Logo Keselamatan Jalan Raya Negeri Johor yang disempurnakan oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim di Dataran Mahkota di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Jazeman berkata, beliau akan menggunakan segala pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang permotoran bagi menggalas tanggungjawab dalam MKJR Negeri Johor.

“Langkah pertama, saya akan ke satu persidangan di Amsterdam, Belanda di mana saya akan lihat teknologi baharu dalam membantu mempertingkatkan keselamatan jalan raya di negeri ini. Saya lihat infrastruktur Johor sudah bagus cuma ada yang perlu ditambah baik,” katanya.

Pelumba kereta berusia 24 tahun itu berkata, golongan remaja perlu diberikan penekanan supaya mentaliti dan habit mereka terhadap keselamatan jalan raya dapat ditingkatkan.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri mewujudkan semula MKJR Negeri Johor selepas 20 tahun sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya selain menjadikan peranannya lebih menyeluruh.

Menurutnya, sasaran kerajaan negeri Johor adalah mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda. – MalaysiaGazette.