KAJANG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Akademik Baharu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM27.247 juta.
Bangunan akademik tiga tingkat itu bakal menempatkan seramai 4,254 orang pelajar pada satu masa dengan kemudahan bilik tutorial, bilik seminar, bilik pensyarah dan ketua program, makmal komputer dan dewan kuliah yang boleh memuatkan seramai 200 hingga 500 orang pelajar.
Azmin dalam ucapannya berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk melunaskan pembiayaan projek yang menggunakan pinjaman mudah daripada kerajaan negeri Selangor ini berjumlah RM27 juta.
Ia sebagai usaha bagi memartabatkan lagi institusi-institusi pendidikan tinggi agama Islam di negeri ini.
“Pagi ini kita akan menyaksikan majlis pecah tanah bangungan akademik baru dan pengubahsuaian bangunan perpusatakaan KUIS yang menzahirkan kepada kita semua untuk mengangkat KUIS sebagai institusi tinggi Islam yang tersohor di negeri Selangor.
“Jumlah peningkatan pelajar KUIS yang meningkat saban tahun memerlukan institusi ini menambah bangunan bagi menampung pembelajaran yang lebih kondusif.
Projek yang diselengarakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Selangor ini, bermula pada 7 September tahun ini dan dijangka siap pada 4 September 2019.-MalaysiaGazette