Home Dunia Turki, AS gantung perkhidmatan visa

Turki, AS gantung perkhidmatan visa

ANKARA – Turki menggantung perkhidmatan visa bukan imigran di semua kemudahan diplomatiknya di Amerika Syarikat

Tindakan itu dilakukan selepas beberapa jam kedutaaan Amerika Syarikat mengumumkan sekatan ke atas perkhidmatan visa.

Keputusan kedua-dua negara ini dilihat sebagai langkah berturut-turut di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara sekutu NATO.

“Dalam usaha meminimumkan bilangan pelawat ke kedutaan dan konsulat sementara penilaian ini diteruskan, kami dengan serta-merta menggantung semua perkhidmatan visa bukan imigran di semua kemudahan diplomatik Turki di Amerika Syarikat,” menurut satu kenyataan menerusi Twitter.

Versi pertama penyataan Turki mengatakan langkah itu akan dikenakan “untuk visa dalam pasport”.

Bagaimanapun, versi kemudiannya memaklumkan langkah itu “akan terpakai untuk visa pelekat serta e-visa dan visa sempadan”.

Katanya, keputusan itu membolehkan kerajaan Turki menilai semula komitmen kerajaan Amerika Syarikat terhadap keselamatan bangunan dan kakitangan Turki.

Kenyataan itu menimbulkan persoalan sama ada pengembara Amerika Syarikat yang sudah mempunyai visa dibenarkan masuk ke Turki.

Sebelum itu, Amerika Syarikat dalam kenyataannya berkata, ia menangguhkan pemprosesan visa “bukan imigran”, kategori tertentu yang berkaitan dengan pelancongan, rawatan perubatan, perniagaan, kerja sementara atau kajian.

Perkhidmatan visa imigran adalah bagi mereka yang mahu tinggal di Amerika Syarikat secara tetap. – MalaysiaGazette