Rakaman CCTV menunjukkan aksi pelajar sekolah menengah di hadapan dobi.
SEREMBAN – “Mereka bukan calang-calang orangnya, baik jangan ‘sentuh’ mereka,” begitulah komen jiran-jiran berhubung seorang pelajar perempuan yang membuang air besar dalam dobi sambil diperhatikan ibunya.
Kejadian sabotaj di dobi itu terdedah apabila pemilik dobi yang bingung dengan kemunculan tahi secara berulang kali dalam kedainya melakukan semakan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Hasil semakan mendapati seorang pelajar sekolah menengah yang lengkap dengan pakaian seragam sekolah membuang air besar di kedai tersebut sambil diperhatikan seorang wanita yang dipercayai ibunya. Pemilik dobi telah membuat laporan polis.
China Press yang bertandang ke tempat tinggal ibu dan anak tersebut di Seremban mendapati jiran-jiran bimbang untuk menghampiri “keluarga bermasalah” itu.
Walaupun berdepan tingkah laku yang sukar diterima, tetapi jiran-jiran tidak berani menegur atau mengadu kerana bimbang akan dibalas dendam.
 “Wanita  itu (si ibu) akan membuang sampah malahan bangkai haiwan ke dalam rumah jiran jika mereka diadu,” kata seorang penduduk.
Menurutnya, wanita tersebut juga sering menjerit-jerit dalam rumah dan perangainya yang pelik juga mempengaruhi anak perempuannya.
Selain dikatakan mencuri di kedai berhampiran,  wanita itu juga merosakkan pasu bunga dan tong sampah jiran.
“Walaupun suaminya tak adalah pelik sangat, tetapi dia mengabaikan aduan jiran,” katanya. – MalaysiaGazette