Keadaan bilik di sebuah hotel di Port Dickson yang runtuh siling dan dindingnya.

SEREMBAN – Sepasang suami isteri bersama seorang anak perempuan mereka yang sedang tidur di dalam sebuah bilik suite hotel di Port Dickson, terkejut apabila siling dan bumbung bilik mewah itu tiba-tiba runtuh dalam kejadian kira-kira 4.22 pagi tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Port Dickson Zamhuri Zainnordin berkata kejadian di tingkat paling atas bangunan enam tingkat itu turut menyebabkan suami isteri berusia 52 dan 51 tahun masing-masing mengalami cedera ringan manakala anak mereka yang berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Runtuhan ini melibatkan siling, bumbung serta dinding bilik hotel… hanya sebuah bilik ini sahaja yang terjejas manakala bilik-bilik lain di tingkat itu yang kebetulan tidak ada pelanggan, tidak mengalami sebarang kerosakan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Beliau juga berkata siasatan awal bomba mendapati keseluruhan bangunan hotel tidak terjejas.

“Kita masih menyiasat lanjut punca kejadian,” katanya.

Difahamkan sisa runtuhan konkrit juga telah menghempap sebuah kereta di ruang parkir hotel berkenaan.

— BERNAMA