Home Nasional TN50 beri makna baharu sejarah bangsa Melayu

TN50 beri makna baharu sejarah bangsa Melayu

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Tan Sri Omar Mohd Hashim berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2017 di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 10102017

KUALA LUMPUR – Peserta-peserta yang mengikuti Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2017 perlu memastikan kerangka dasar Transformasi Nasional (TN50) tidak mengenepikan elemen-elemen kebudayaan Malaysia yang berteraskan budaya bangsa Melayu.

Ini kerana, kajian dan penyelidikan secara berterusan akan membawa kepada penemuan baharu lebih signifikan dan memberi makna baharu kepada sejarah bangsa Melayu, kata Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Tan Sri Omar Mohd. Hashim.

“Saya dimaklumkan bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sering diajukan dengan pertanyaan tentang bukti asal usul kewujudan bangsa Melayu.

“Di Parlimen, menteri perlu menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut dan manuskrip Melayu adalah antara dokumen dan bahan bukti yang kita rujuk untuk dijadikan sandaran jawapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2017 di Perpustakaan Negatra di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Nafisah Ahmad dan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Zainal Kling.

Persidangan selama tiga hari bermula hari ini akan mebincangkan mengenai ilmu yang tersurat dan tersirat dalam naskhah-naskhah Melayu mencakupi astronomi, sains dan teknologi, perubatan, ketatanegaraan, sejarah serta kepelbagaian disiplin ilmu yang lain.

Mengulas lanjut, Omar berkata, topik-topik yang merentasi pelbagai cabang disiplin ilmu yang terkandung dalam manuskrip seperti moden, sains angkasa dan teknologi makanan yang dibincangkan pada persidangan kali ini pasti akan mencetuskan dimensi baru dalam kemajuan ilmu.

“Saya harap persidangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai wadah yang disediakan untuk mengupas idea-idea dari kaca mata perspektif yang baru lagi relevan dalam konteks dunia hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette