PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengeluarkan ranking Kementerian yang paling tinggi terpalit rasuah dan salah guna kuasa tidak lama lagi, kata Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
“Ranking itu nanti ada senarai 10 kementerian teratas yang bermasalah dan lima teratas bagi kategori yang paling bersih,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC), di sini hari ni.
Beliau berkata ranking tersebut telah siap dan mendapat pengesahan daripada pakar-pakar terlibat dan akan diumumkan kepada orang ramai pada November atau Disember ini.
“Ini dibuat supaya setiap kementerian ada ruang untuk berusaha memperbaiki kedudukan masing-masing apabila mereka melihat kedudukan mereka dalam ranking itu.
Katanya ranking itu akan dikeluarkan setiap tahun dan akan diperluas merangkumi semua jabatan dan agensi kerajaan di negara ini.
Dzulkifli bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya pemberita mengenai kementerian paling bermasalah, dan berkata hanya akan memaklumkan perkara itu pada majlis pengumuman rasmi ranking tersebut.
Menurutnya ranking seumpama itu bukanlah perkara baharu kerana ia telah diamalkan di luar negara seperti di Korea Selatan.
Mengenai IBR, katanya setakat ini sebanyak 620 kementerian, agensi dan jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, yayasan dan institut pendidikan tinggi telah melaksanakan ikrar itu.
“Ini menunjukkan komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak untuk memastikan organisasi mereka bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Mengulas IBR oleh MPIC, Dzulkifli berkata setakat ini SPRM tidak menerima banyak aduan mengenai kementerian itu dan termasuk antara kementerian yang tidak berisiko tinggi dari segi isu-isu rasuah dan salah guna kuasa.
Dalam pada itu, Menteri berkenaan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata pelbagai peruntukan yang diamanahkan kepada kementeriannya seperti Bantuan Musim Tengkujuh berjumlah RM261 juta dan RM130 juta bagi skim tanam semula getah perlu diuruskan dengan penuh amanah agar tidak disalah guna untuk kepentingan peribadi.
Justeru, katanya IBR kementerian itu adalah satu manifestasi seluruh warganya serta agensi-agensi dan majlis-majlis di bawahnya dalam menolak amalan rasuah.
“Kerajaan akan terus komited, sekiranya terdapat mana-mana individu atau kumpulan dalam MPIC, agensi atau majlis yang tidak berintegriti dan tidak bebas rasuah, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” katanya.
Menurut Mah tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut proses undang-undang bagi membendung persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap kementeriannya dan kerajaan.- BERNAMA