N.S. Rajendran (tengah) mengadakan sidang media mengenai masalah masyakat India yang tidak mempunyai kad pengenalan di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Lebih 200 orang India yang tidak mempunyai kad pengenalan mendapat perkhabaran gembira apabila mereka bakal menerima kad tersebut pada akhir bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan menyerahkan kad pengenalan itu kepada mereka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 31 Oktober ini.

Ketua Pengarah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), Profesor Datuk Dr. N.S. Rajendran berkata, pihaknya yang bertindak sebagai entiti pelaksana kepada Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India sejak 23 April lalu, kempen My Daftar telah diadakan di 23 lokasi seluruh negara.

“Daripada program itu, 2,500 masyarakat India dari pelbagai umur telah menyerahkan dokumen untuk mendapatkan kerakyatan yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya dalam sidang media pada Majlis sambutan Pra-Deepavali SEDIC di Menara Usahawan di sini hari ini.

Rajendran berkata, bagaimanapun ada beberapa dokumen tidak lengkap dan bakinya masih dalam proses mengesahkan kesahihan dokumen terbabit.

“Lebih 200 permohonan telah lengkap dan telah dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk dijadikan dokumen sah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rajendran berkata, apa yang dilakukan itu jelas menunjukkan keikhlasan, kejujuran dan kelangsungan Najib dalam menangani permasalahan yang dihadapai kaum India selama lima dekad.

Mengulas mengenai status perkembangan pelan tindakan itu, Rajendran berkata, ia sedang dilaksanakan secara teratur dengan 34 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan dengan sembilan agenda utama.

“Sekarang kita sedang mengadakan perbincangan bersama lapan agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Imigresen Malayia untuk meningkatkan peratusan penjawat awam kaum India di dalam perkhidmatan awam.

“Jumlah penjawat awam golongan itu kini adalah 4.2 peratus, dan kita sedang berbincang untuk menaikkan kepada 7 peratus,” katanya.

Dalam aspek pendidikan pula, Rajendran memaklumkan bahawa tujuh peratus peningkatan pelajar-pelajar di universiti turut diberi perhatian.

“Seramai 735 pelajar yang layak tidak ditawarkan universiti dan kita sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mendapatkan tempat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast