Sebahagian pekerja asing di Malaysia.- gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memohon kerajaan agar mempertimbangkan cadangan permohonan pengambilan 100 peratus pekerja asing’ dalam sektor pembuatan.

Biar pun pertimbangan itu hanya akan dibuat untuk penggajian pekerja di barisan pengeluaran sahaja — yakni pekerjaan berkemahiran rendah dan bukannya untuk seluruh operasi kilang atau syarikat namun ia perlu diperhalusi kerana bimbang sektor lain turut akan memohon pengambilan cara yang sama pada masa depan.

“MTEM selaku pertubuhan bukan kerajaan ekonomi Melayu, memandang serius perkara ini kerana cadangan tersebut dilihat sebagai tidak praktikal dan bakal memberi kesan seperti pengurangan tenaga kerja mahir dalam negara khususnya bidang pembuatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan data.gov.my, jumlah pekerja asing mengikut sektor tahun 2011-2016 yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri menunjukkan penggunaan pekerja asing dalam sektor pembuatan menurun daripada 58,0820 orang (2011) kepada 25,3120 orang (2016).

Begitu jua dengan sektor perladangan menunjukkan penggunaan pekerja asing dalam sektor tersebut juga menurun dari 29,9217 orang (2011) kepada 26,8478 orang (2016).

Namun sektor lain menyaksikan peningkatan penggunaan pekerja asing terutamanya dalam sektor perkhidmatan naik dari 13,2919 orang (2011) kepada 64,8621 orang (2016), sektor pembantu rumah naik dari 138,8969 orang (2011) kepada 186,6369 orang (2016), pertanian naik dari 15,2325 orang (2011) kepada 17,3641 orang (2016) dan pembinaan naik dari 22,3688 orang (2011) kepada 38,7934 orang (2016).


Sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah berpendapatan tinggi, Malaysia tidak seharusnya membuka jurang yang lebih besar terutamanya dalam kalangan tenaga buruh diperingkat bawah.

“Ini kerana, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, bagi suku pertama tahun 2017 menunjukkan kadar pengganggur berada pada tahap 3.5 peratus berbanding tahun 2016 iaitu 3.4 peratus dan tahun 2015 iaitu 3.1 peratus.

“Pengangguran yang sedia tinggi akan merencatkan lagi pelaksanaan pelbagai polisi kerajaan lebih-lebih lagi jika pelasanaan 100 peratus pekerja asing dilaksanakan,” katanya.

Menurut Ahmad Yazid, kerajaan sepatutnya memberi perhatian khusus kepada golongan ini dalam usahanya memenuhi pasaran kerja sekaligus menambahkan bilangan pekerja mahir dalam pelbagai sektor yang sedia maklum tenaga buruhnya dipenuhi oleh pekerja asing.

MTEM berharap agar kerajaan tidak mudah terpengaruh dengan permintaan pihak berkepentingan kerana keutamaan kerajaan adalah untuk membangunkan negara dan rakyat demi mencapai hasrat Transformasi Nasional 2050 atau TN50.

Sebagaimana yang kerajaan sasarkan dalam TN50 untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi, katanya.

“Biar pun pengambilan pekerja asing dapat mengurangkan kos, kerajaan perlu melihat kepada pilihan lain bagi mengelakkan kebergantungan langsung terhadap tenaga kerja asing,” jelasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast