YAN – Sebanyak 13 pusat rekreasi di negeri ini dikesan sebagai lokasi berlakunya kejadian ‘kepala air’ termasuklah Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi, yang mengorbankan empat nyawa, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kedah Mohd Zahar Abdullah berkata pada tahun ini, selain kes berkenaan, kejadian sama turut berlaku di Batu Hampar, Yan; Pusat Rekreasi Tupah, Merbok; dan Air Terjun Temurun, Datai, Langkawi, yang keseluruhannya melibatkan 15 mangsa namun kesemuanya dilaporkan selamat.

“Selain empat lokasi berkenaan, JBPM negeri turut mengesan lokasi lain yang pernah berlaku kejadian kepala air iaitu di Titi Hayun, Yan; Bukit Wang, Jitra; Sungai Batu Pahat, Merbok; dan Puncak Janing, Kuala Nerang.

“Terdapat tiga lokasi di Kulim iaitu Sungai Kilim, Sungai Sedim dan Lata Junjung, manakala dua lagi lokasi di Langkawi iaitu Telaga Tujuh dan Durian Perangin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2017 di Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan di sini hari ini.

Menurutnya, dengan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini, tahap kesiapsiagaan anggota JBPM negeri Kedah adalah sangat tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

 “Bagaimanapun kita berharap anggota masyarakat juga perlu mengambil langkah berhati-hati sepanjang masa, khususnya sewaktu mengunjungi lokasi-lokasi terbabit untuk beriadah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast