KUALA LUMPUR – Selepas Khai Bahar dan Wany Hasrita berjaya dicungkil sebagai penyanyi menerusi Smule, kini seorang lagi bakat baharu berjaya diketengahkan menerusi aplikasi muzik karaoke itu.

Cikgu Meera atau nama sebenarnya Nur Ameera Nabila Azmi, 24, yang merupakan seorang guru muzik di sebuah sekolah di Shah Alam, Selangor tidak menyangka video nyanyiannya di Smule menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.

Hasilnya syarikat rakaman Jayy Production turut jatuh hati untuk menyunting ‘Cikgu Viral’ ini sebagai artis mereka dan memberi peluang kepadanya untuk merakam single berjudul ?Oh Sayangku’ karya komposer Eddie Hamid manakala liriknya ditulis oleh Nur Hakim.

“Saya sangat bertuah dapat menyanyikan lagu Oh Sayangku ciptaan Eddie Hamid yang mula dilancarkan pada 6 Okt lalu, kerana bukan sahaja komposisi melodinya indah, malah liriknya juga sangat mendalam.

“Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang meninggalkan teman lelakinya untuk menjalinkan hubungan bersama lelaki lain, namun lama kelamaan beliau menyesal atas perbuatannya dan mahu kembali bersama bekas teman lelakinya tetapi segalanya sudah terlambat,” katanya kepada Bernama.- BERNAMA