KUALA LUMPUR – Parti Cinta Malaysia (PCM) mendedahkan berlaku skandal dalam pembekalan konkrit untuk beberapa projek pembangunan di Pulau Pinang.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan, pihaknya mendapati konkrit yang dibekalkan oleh syarikat pembekal tidak menepati spesifikasi ditetapkan.
Katanya, beliau mendedahkan perkara itu setelah merujuk kenyataan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat di negeri itu yang membuat keputusan merobohkan projek Mutiara Ria dan Mutiara Rini demi mengutamakan keselamatan pembeli serta risiko di masa hadapan.
“Saya dimaklumkan, keputusan itu diambil oleh syarikat berkenaan setelah sampel konkrit yang dibekalkan melalui ujian konkrit. Ujian itu yang dibuat melalui tujuh makmal berbeza termasuk makmal antarabangsa mendapati konkrit berkenaa, tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan dan tidak boleh digunakan.
“Apa yang mengejutkan dan merisaukan adalah pembekal konkrit berkenaan juga turut membekalkan konkrit bermutu rendah dan tidak menepati spesifikasi ditetapkan kepada banyak lagi projek lain di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Sehubungan itu, menurut Cheng Guan, Ketua Menteri Pulau Pinang harus bertindak segera dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat skandal itu dan tidak sekali-kali memperjudikan nyawa rakyat dengan membiarkan perkara itu berlaku.
Beliau mengingatkan Guan Eng, apa yang dilakukan syarikat itu dengan merobohkan projek Mutiara Ria dan Mutiara Rini adalah tindakan tepat dan wajar supaya keselamatan pembeli dan penduduk terjamin.
“Ini adalah keutamaan syarikat berkenaan buat waktu ini berbanding keuntungan jutaan ringgit,” ujar beliau.
Bagaimanapun, katanya beliau sedih dengan kerajaan negeri yang masih tidur, lembab dan berpeluk tubuh mengenai perkara yang sangat serius itu.
“Sehingga hari ini, tiada satu pun task force atau pasukan siasatan ditubuhkan oleh kerajaan DAP susulan kenyataan yang dibuat oleh syarikat berkenaan. Kerajaan DAP seperti tidak peduli akan keselamatan rakyat negerinya.
“Saya menyeru kepada Guan Eng jangan bermain dengan nyawa rakyat Pulau Pinang dan jalankan siasatan terperinci terhadap pembekal konkrit bermutu rendah ini dan ambil tindakan segera untuk memastikan bangunan yang menggunakan konkrit bawah spesifikasi ini selamat diduduki,” katanya.
Kata beliau, daripada Ketua Menteri sibuk mahu selamatkan Malaysia, lebih elok beliau buka mata dan selamatkan Pulau Pinang terlebih dahulu kerana rakyat tidak mahu kes yang berlaku di luar negara berulang sekali lagi dan lebih teruk ini di Pulau Pinang.
“Pagi ini sahaja kami menyaksikan bagaimana tanah runtuh berlaku di Pulau Pinang yang mengakibatkan kehilangan lebih 10 nyawa,” katanya. – MalaysiaGazette