CANBERRA – Kakitangan-kakitangan di lapangan terbang utama di Australia akan menjalani penyaringan tambahan sebagai langkah-langkah keselamatan.
Kawalan yang lebih ketat diadakan selepas pihak berkuasa menggagalkan cubaan untuk menjatuhkan pesawat di Lapangan Terbang Sydney pada bulan Julai.
Pengendali bagasi Australia dan kakitangan lapangan terbang yang bekerja di zon terhad kini akan dikenakan ujian rawak untuk mengesan bahan letupan.
Pemeriksaan juga akan dijalankan ke atas barangan dan kenderaan pekerja.
Perubahan-perubahan yang diadakan itu berikutan kebimbangan yang dikemukakan oleh pakar kesatuan dan risikan tentang kebanyakannya pekerja lapangan terbang adalah petugas kontrak biasa.
“Langkah-langkah ini mengukuhkan kawalan sedia ada untuk memastikan pekerja lapangan terbang diberi kuasa, dikenal pasti dengan betul dan dilatih dengan sewajarnya sebelum memasuki kawasan itu,” kata Menteri Pengangkutan Darren Chester.
Kerajaan Australia berkata, kira-kira 140,000 pekerja mempunyai akses ke zon selamat di lapangan terbang.
Seorang senator, Nick Xenophon berkata, Australia sepatutnya mengamalkan langkah-langkah yang lebih ketat, seperti sistem pemeriksaan mandatori seperti Amerika Syarikat untuk semua kakitangan.
“Pendekatan kerajaan kami terhadap pemeriksaan rawak adalah satu jenaka,” katanya. – MalaysiaGazette