Dr. Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Pas berpendapat tidak wajar pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik diekstradisikan ke India, meskipun kerajaan negara itu meminta diserahkan tokoh berkenaan atas alasan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Dr. Zakir adalah tokoh yang diiktiraf dan disanjung keilmuannya di seluruh dunia serta pernah menerima kurnia sebagai Tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia pada 2013.

Katanya, kepetahan pendakwah itu berhujah dalam masalah perbandingan agama menyebabkan ramai kalangan mereka yang akhirnya memeluk Islam dan kelebihannya itu yang ditakuti pihak lain.

“Keganasan hanya alasan yang biasa digunakan terhadap pendakwah Islam antarabangsa untuk menghentikan dakwah yang disampaikan. Ramai tokoh pendakwah Islam yang akhirnya dihukum gantung dengan menggunakan alasan direka, kononnya terlibat dengan keganasan.

“Malaysia tidak perlu layan permintaan ekstradisi kerajaan India terhadap Dr. Zakir. Pas dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran akan mempertahankannya dari diekstradisi pulang ke negara India,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, akhbar di India melaporkan kerajaan negara itu mahu mengekstradisi Dr. Zakir dari Malaysia.

Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) dilaporkan telah mengemukakan laporan siasatan terperinci mengenai kegiatan keganasan membabitkan Dr. Zakir kepada Kementerian Dalam Negeri (MHA) di New Delhi.

Dalam laporan semalam juga, The Times of India (TOI) dilaporkan berkata, agensi itu telah mendapatkan kebenaran pendakwaan daripada kementerian itu terhadap Dr. Zakir yang melarikan diri dari India dan diberikan status pemastautin tetap oleh Malaysia.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya kerajaan Malaysia telah mengambilkira semua aspek melibatkan kepentingan warganegara dan negara ini, selain daripada kelulusan profesional serta kepakaran dimiliki tokoh pendakwah antarabangsa itu.

Ujar beliau, proses itu pastinya melibatkan pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Dalam Negeri, polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan lain-lainnya.

Justeru, kata Nik Mohamad Abduh, proses itu secara tidak langsung mengesahkan Dr. Zakir Naik bebas daripada sebarang pengaruh dan aktiviti keganasan yang mengancam keselamatan mana-mana pihak.

“Pas menggesa kerajaan Malaysia supaya teguh membela Dr. Zakir yang merupakan seorang pendakwah dan penceramah diiktiraf kepakarannya dalam ilmu perbandingan agama dan sangat dihormati para ulamak Islam serta umat Islam di seluruh dunia.

“Oleh itu, jangan layan permohonan kerajaan India untuk mengektradisi Dr. Zakir ke negara itu kerana kita percaya tindakan mengaitkan pendakwah itu dengan keganasan dan pencetus ketegangan antara agama hanya suatu tuduhan semata-mata.

“Mereka mahu menyekat pengaruh dan usaha Dr. Zakir dalam mencetus kesedaran beragama di kalangan masyarakat awam antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.