Home Uncategorized PLUS tulang belakang negara

PLUS tulang belakang negara

logo plus

KUALA LUMPUR – Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) adalah satu aset strategik dan merupakan tulang belakang negara yang harus dikekalkan dalam tangan kerajaan, kata seorang tokoh akademik terkemuka hari ini.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, sebagai tulang belakang negara, PLUS mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar yang tidak dapat dipikul oleh pihak ketiga yang membida untuk mengambil alih pemilikannya.

Dalam satu temu bual dengan Bernama, Noor Azlan berhujah panjang lebar kenapa PLUS tidak harus diswastakan sekali lagi.

Menurutnya Malaysia mempunyai pengalaman apabila aset strategik diswastakan, syarikat-syarikat itu kemudian berhadapan pelbagai masalah.

“Dalam konteks lebuh raya ini, kita belum sampai ke penghujung. Perjalanannya masih jauh dan keperluan untuk mewujudkan rangkaian lebuh raya yang lebih baik, lebih cekap, lebih mantap dan mempunyai jalinan-jalinan rangkaian seluruh negara masih dalam pembinaan,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak juga mahu PLUS kekal dimiliki bersama oleh entiti kerajaan seperti UEM Group yang menguasai 51 peratus manakala selebihnya 49 peratus dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Maju Holdings Sdn Bhd telah membida untuk mengambil alih PLUS dengan tawaran RM36 bilion dan setakat ini UEM mengumumkan syarikat tidak berhasrat menjual PLUS sehingga tamat tempoh konsesi pada 2038.

Berikut adalah soal jawab temu bual berkenaan:

S: Tan Sri, PLUS kini dalam keadaan yang begitu selamat dalam tangan kerajaan. Apakah kerajaan perlu menjualnya kepada pihak ketiga?

J: Adalah amat penting sekali untuk kita, pertama sekali melihat apa itu Lebuhraya PLUS. Kerana Lebuhraya PLUS ini bagi saya merupakan satu aset strategik negara dan merupakan seolah-olah macam tulang belakang negara.

Lebuh raya sebenarnya lebih daripada sekadar membolehkan kereta dan kenderaan untuk bergerak.

Sebenarnya dalam konteks pembangunan sesebuah negara, kesalinghubungan antara wilayah, membolehkan rakyat dan semua aktiviti sesebuah negara untuk dihubungi dengan lebih efisien adalah satu yang amat penting. Ahil-ahli ekonomi malah dalam proses pembangunan akan melihat soal kesalinghubungan, soal memendekkan jarak, itu satu perkara yang sangat penting.

Jadi, dalam konteks Malaysia, pengurusan Lebuhraya PLUS terutamanya perlu dilihat dalam konteks itu. Benar, ia harus disokong dengan kecekapan pengurusan yang menghasilkan keuntungan kepada pemilik tetapi mesti matlamat utama mengatasi soal keuntungan.

Dalam konteks bagaimana lebuh raya ini menyumbang terhadap pembangunan negara, kalau kita merujuk kepada pembangunan Lebuhraya Utara-Selatan, umpamanya, jelas sekali semenjak kita mempunyai lebuh raya ini, pembangunan negara adalah lebih pantas dan manfaat pembangunan itu menyeluruh. Dari Bukit Kayu Hitam sampai ke Tuas, semua perbandaran dan kampung semuanya kini dihubungi dan ia mewujudkan banyak peluang lain di samping memanfaatkan pemilik.

Bagi saya, dalam konteks cadangan untuk PLUS diletak ke tangan satu pemilik sahaja adalah satu perkara yang kita perlu fikir dengan lebih mendalam.

S: Bagaimana tentang pengalaman penswastaan sebelum ini yang melibatkan syarikat seperti PERWAJA dan MAS oleh individu-individu tertentu?

J: Ini yang saya maksudkan. Malaysia mempunyai beberapa pengalaman yang sedemikian, bila mana kita memindahkan pemilikan aset-aset yang kita anggap strategik kepada negara. Kemudiannya kita berhadapan dengan beberapa masalah.

Sekarang ini pun, banyak diperbincangkan umpamanya dalam konteks prestasi syarikat penerbangan negara. Jadi, penting kerana bila kita melihat satu aset itu nilai strategik, ia mempunyai tanggungjawab yang lebih besar.

Tanggungjawab itu bukan sekadar untuk memastikan kelestarian perniagaan dan keputusan-keputusan yang berkaitan dengan perniagaan tersebut; ada ketika dan kalanya perlu memberi pertimbangan yang besar kepada konteks sosial infrastruktur atau aset berkenaan.

Jadi penting konteks itu. Apakah matlamat nasional keseluruhannya dapat dipertahankan bila pemilikan lebuh raya ini pergi kepada individu?

Saya bagi contoh, kalau di negara China umpamanya, pembinaan lebuh raya itu mendahului pembangunan. Ada kawasan-kawasan yang kemungkinan masih belum mempunyai ataupun mempunyai rekod keperluan yang tinggi tetapi lebuh raya dibina. Jadi bererti bila mana ia menjadi pemilikan individu, adakah perkara ini dapat dilaksanakan?

Jadi perkara ini penting kita lihat, sebab lebuh raya pada pandangan saya adalah aset strategik negara dan amat penting pemilikannya itu dapat memastikan bahawa matlamat strategik ini dapat terus di pertahankan.

S: Pada 2011 apabila UEM and KWSP mengambil alih PLUS, mereka mengurangkan kadar kenaikan tol setiap tiga tahun dari 10 peratus hingga lima peratus. Dengan PLUS kekal dalam tangan kerajaan, tidakkah ini bermakna kerajaan akan mengekalkan kadar ini?

J: Ya, betul. Sebab itu penting bagi saya – satu cara untuk sesebuah lebuh raya itu mendapatkan pulangan melalui kutipan tol. Dan kita semua sedia maklum di Malaysia, bila mana ada perbincangan penilaian ataupun semakan tol ini, ia menjadi topik negara, jadi bererti pertimbangan harus dibuat lebih meluas daripada hanya keuntungan syarikat yang memiliki.

Berbalik kepada 2011 bila UEM dan KWSP mengambil alih, kita harus faham bahawa KWSP dan UEM adalah dalam tangan kerajaan. Jadi bererti kepentingan awam itu masih ada di situ. Perbincangan tentang kenaikan kadar tol dapat dilaksanakan dengan lebih harmoni.

Dan saya sedia maklum tawaran Maju Holdings umpamanya, tidak akan ada lagi kenaikan tol sehingga tahun 2038. Secara ikhlas, rasa tawaran itu perlu ditafsirkan dengan betul. Apakah itu realistik untuk dilaksanakan? Kita tidak mahu membuat dakwaan sahaja bahawa untuk tempoh 20 tahun yang datang harga ataupun bayaran tidak akan berubah kerana kalau kita lihat dalam apa jua sebenarnya barangan dan perkhidmatan lebih 20 tahun, adalah tidak realistik untuk menganggap akan kekal sama.

Jadi tawaran itu walaupun ada pihak yang rasa menarik, ada pihak yang merasakan tawaran ini hebat tetapi komitmen, secara realistiknya, apakah kita jelas tentang masa akan datang? Contohnya dalam masa lima hingga enam tahun, kadar ekonomi dunia berubah-ubah. Jadi, apatah lagi bila mana kita membuat komitmen untuk 20 tahun akan datang, bagi saya, biarlah realistik dalam konteks ini.

Sudah tentu, pada pihak kerajaan, penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah sesuatu yang menarik. Tetapi, kita perlu mengimbangi antara mewujudkan rangkaian lebuh raya yang cekap, yang hebat, yang mampu menampung pertumbuhan ekonomi negara dan keperluan rakyat Malaysia.

Kalau kita lihat umpamanya usaha-usaha pembesaran lebuh raya yang dibuat oleh PLUS hari ini. Itu sebenarnya berterusan, anda tahu, jumlah kereta, pengguna hari ini telah meningkat jauh daripada awal tahun lebuh raya ini dibina. Juga penyelenggaraan sepanjang tahun. Dengan pelbagai teknologi terkini dan semuanya harus diambil kira. Jadi bagi saya, perkara ini harus dinilai dengan lebih komprehensif dan melihat gambaran realistik tentang keperluan menyediakan lebuh raya-lebuh raya di masa akan datang.

Saya melihat juga dalam konteks pembida, Maju Holdings yang kita semua sedia maklum hari ini mengendalikan lebuh raya MEX yang sekitar dalam lebih 30 kilometer. Lebuhraya PLUS kira-kira 1,200 kilometer. Ini bukan berganda, tiga kali ganda, ini banyak, lebih banyak daripada itu. Kapasitinya jauh berbeza. Kalau kita mentadbir ataupun mempunyai rangkaian kedai runcitnya contohnya, apakah kita mempunyai keupayaan yang sama untuk mentadbir rangkaian pasaraya yang begitu besar? Jadi semua ini perlu diambil kira. Kita tidak mahu nanti separuh jalan kita berhadapan dengan masalah ataupun kadang kala tekanan-tekanan lain yang tidak dapat dielakkan oleh mana-mana.

S: Maju Holdings bercakap mengenai penjimatan oleh kerajaan sebanyak RM900 juta dari segi pampasan sekira ia mengambil alih PLUS. Tetapi rakyat mendapat keuntungan melalui dividen KWSP . Dan cukai kepada kerajaan oleh UEM.

A: Ya, itulah yang saya maksudkan sebenarnya, bagi saya, pengurusan PLUS sekarang ini di bawah UEM dan juga dimiliki oleh KWSP. Kalau kita tengok struktur ini, itulah sebabnya saya kata, ia melangkaui persendirian. Ia juga mengambil kira kerana operasi ini juga menjana pendapatan, kan?

Dan bila mana pemilikannya adalah kepada syarikat yang bersangkutan dengan kerajaan, GLC, dalam konteks KWSP umpamanya, pulangannya akan kembali kepada rakyat. Jadi, selain menyumbang ke arah pembangunan negara, mewujudkan pekerjaan, menyediakan peluang perniagaan tetapi pulangannya dikembalikan, seolah-olah dipulangkan semula kepada rakyat Malaysia melalui dividen yang dibayar dan kepada KWSP umpamanya.

Bagi saya, saya percaya pada KWSP, aset ini yang dianggap sebagai yang memberikan pendapatan. Jadi bererti, kita semua, kita rakyat juga mendapat manfaat daripada pulangan-pulangan dividen yang akhirnya sampai kepada kita. Jadi dalam konteks pembayaran cukai kepada kerajaan, juga suatu yang menarik. Yang mana boleh menaikkan pendapatkan kerajaan melalui syarikat-syarikat pemilikan kerajaan.

Dan kita juga sedia maklum, saya sedar yang UEM khususnya juga mempunyai, melaksanakan pelbagai bentuk aktiviti tanggungjawab sosial, terutamanya dalam bidang pendidikan dan sebagainya.

Terdapat cara-cara di mana manfaat dan keuntungan pengurusan lebuh raya ini dapat dilontarkan balik. Jadi ini yang kita kadang-kadang tak nampak. Ramai rakyat Malaysia hanya melihat daripada perspektif berapa banyak tol yang perlu dibayar? Itu sempit sebenarnya.

Dalam kita menilai bagaimana sebenarnya lebuh raya yang besar, yang panjang, yang penting dalam negara ialah yang memberi faedah kepada negara. Jadi, banyak cara kita tengok tadi. Jadi penting bagi saya, sebab itulah isu pemilikan Lebuhraya PLUS ini adalah satu isu besar yang perlu ditangani dengan rapi, tidak semestinya tertarik kepada beberapa tawaran yang khusus sifatnya. Oleh itu, amat penting bagi rakyat Malaysia menelitinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast