KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong dan bersama dengan usaha dijalankan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membanteras aktiviti perjudian yang menjadi salah satu punca kebejatan sosial di negara ini.
Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Ruslan Kasim, tidak ada mana-mana ajaran agama dan moral, sama ada dari barat atau timur menghalalkan perjudian.
Kata beliau, aktiviti perjudian sama ada yang beroperasi secara berlesen mengikut perundangan negara atau tidak, adalah suatu kesalahan dalam mana-mana ajaran agama, moral dan budaya.
“Perkasa dengan penuh takzim menyokong dan bersama PPIM membanteras kemungkaran perjudian yang menjadi salah satu punca kebejatan sosial di negara ini.
“Kita tidak akan bertolak ansur dengan sebarang anasir yang melindungi atau menaungi aktiviti perjudian baik oleh penjawat awam, pemimpin kerajaan atau pembangkang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau turut mendesak pihak berkuasa agar menyiasat sehingga ke akar umbi dakwaan dikemukakan aktivis PPIM mengenai kegiatan perjudian itu dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Sehubungan itu, Ruslan mengajak masyarakat bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengembeling usaha dan tenaga bagi membanteras aktiviti perjudian. – MalaysiaGazette