Noh dan Norhayati melawat Sohaimi yang dicedera ditikam di Hospital KPJ Damansara.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan kini berada dalam keadaan stabil dan balutan di kepalanya yang luka akibat terkena tikaman sudah dibuka selepas menjalani pembedahan kecil.

Beliau yang ditempatkan di wad Hospital KPJ Damansara menerima kunjungan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Wanita UMNO negeri, Tan Sri Norhayati Onn hari ini.

Sohaimi cedera ditikam seorang lelaki dipercayai kurang siuman di hadapan rumah jirannya di Taman Moccis, Sungai Buloh, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi.

Kejadian dikatakan berlaku ketika Sohaimi baru keluar rumah bersama pemandu dan adik iparnya untuk ke Shah Alam.

Bagaimanapun, tiba-tiba lelaki yang dipercayai kurang siuman berusia 20-an itu dikatakan membaling batu dan terkena adik ipar Sohaimi.

Ketika itu juga lelaki terbabit menyerang dan bertindak menikam Sohaimi, menyebabkan beliau cedera di belakang badan dan kepala. – MalaysiaGazette