KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita negara meraih kemenangan pertama pada Kejohanan Piala Asia 2017 selepas membenam Singapura 8-0 pada perlawanan tertangguh Kumpulan A di Stadium Kawasaki Green di Kakamigahara, Jepun, hari ini.

Skuad Malaysian Tigress menamatkan saingan suku keempat dengan menambah satu lagi gol menerusi jaringan padang oleh Norbaini Hashim pada minit ke-59, selepas perlawanan dihentikan ekoran hujan lebat ketika Malaysia mendahului 7-0 semalam.

Selepas kalah tipis 5-4 kepada China pada perlawanan pembukaan, Sabtu lepas, kemenangan tersebut memberi suntikan semangat untuk anak buah Dharma Raj Abdullah menghadapi cabaran getir dalam perlawanan terakhir kumpulan, menentang India, esok.

Kemenangan ke atas India akan membolehkan Malaysia menduduki tangga kedua kumpulan serta tiket ke suku akhir.

Pada perlawanan menentang Singapura, Malaysia menghasilkan jaringan menerusi dua gol oleh Nuraslinda Said pada minit ke-19 dan 33, Norbaini Hashim (36, 59) Fatin Shafika Mahd Sukri (13), Surizan Awang Noh (15), Hanis Nadia Onn (25) dan Nursaini Abdul Rashid pada mini ke-28.- BERNAMA