Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan surat kelulusan kewarganegaraan kepada Dinesh Kumar (dua kanan) sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (tiga kiri) pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Kewarganegaraan di Pejabat DBKL, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Bagi Dinesh Kumar, 12, dari Jasin Melaka mendapat kerakyatan adalah umpama satu lesen besar dalam hidupnya untuk mengejar cita-cita seperti anak-anak muda lain di Malaysia.

Dinesh merupakan anak angkat sulung daripada enam anak angkat K.Kaliammah, 45, yang juga merupakan ibu kepada tiga anak kandungnya.

Menurut Kaliammah, Dinesh diambilnya sebuah rumah kebajikan.

Kaliammah yang kebetulan menyertai program bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat itu menerima Dinesh semasa kanak-kanak itu berusia lapan tahun dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Menurutnya, Dinesh pernah dinafikan tempat di sekolah kebangsaan oleh kerana tidak memiliki sijil kelahiran sah.

Sementara itu, selain tidak diterima memasuki sekolah Dinesh juga rasa rendah diri kerana kaki kanannya pendek lima sentimeter menyebabkan dia sukar untuk berjalan secara normal.

“Dalam keadaan ini, apakah masa depan saya akan musnah tanpa pendidikan yang berkualiti kerana tidak ada sijil kerakyatan sah? Hari ini semua ketakutan itu hilang sekelip mata bagai kabus terkena sinar matahari.

“Saya mendapat suntikan semangat baharu kerana terharu menerima watikah kewarganegaraan itu daripada tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

“Sekarang saya anak Malaysia yang sah dan tiada siapa boleh mempertikaikannya, saya bebas mengejar cita-cita sebagai jurutera,” katanya dengan senyuman manis ketika ditemui Malaysia Gazette hari ini.

Dinesh antara 30 penerima yang dipilih rawak daripada 177 pemohon yang diluluskan kewarganegaraan oleh kerajaan Barisan Nasional menerusi Program MyDaftar kali ini.

Surat kelulusan kewarganegaraan itu disampaikan oleh Najib bersama dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Ketua Pengarah SEDIC, Prof. Datuk Dr. N.S. Rajendran di ibu negara hari ini.

Kaliammah berkata, baginya, Dinesh umpama anak kandung sendiri yang sangat disayanginya.

Jelasnya, Dinesh kini menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bukit Kajang, Jasin Melaka setelah sukar untuk mendaftarkan di sekolah kebangsaan semasa berusia tujuh tahun.

“Dulu saya cuba memasukkan dia ke sekolah kebangsaan tetapi dinafikan sekolah disebabkan ketiadaan sijil kerakyatan yang sah. Lagi pun, ketika dibawa ke keluarga saya, dia hanya tahu bercakap Melayu dalam loghat Kedah tetapi tidak tahu bertutur Tamil.Kini dia mampu bertutur dalam Tamil juga.

“Saya sebagai ibu sudah menjalankan tanggungjawab selama lima tahun untuk mendapatkan sijil beranak dan kewarganegaraan sah dan kini dia berjaya mendapat pengiktirafan itu dari kerajaan sendiri.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kepimpinan Perdana Menteri yang prihatin dan menjamin status kerakyatan Dinesh serta KDN, Unit Pembangunan Sosioekonomi Kaum India (SEDIC) dan semua pihak yang membantu kami.

“Saya lega dan percaya masa depan Dinesh sewaktu ke sekolah menengah tinggi dan pengajian tinggi nanti akan lebih terjamin dan tidak perlu dirisaukan lagi, cuma sebagai tugas pertama saya perlu segera memohon kad OKU untuk Dinesh,” tegasnya.- Malaysia Gazette