KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Haslin Baharin mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura kerana mengharamkan beliau berceramah dan memasuki negara itu.
Katanya, sehingga kini beliau tidak ditunjukkan bukti sama ada wujud video atau sedutan alat perakam yang boleh dikaitkan dengan kandungan berbaur menghasut sepanjang menyampaikan ceramah agama di Singapura.
“Kalau tiada kaitan, saya boleh saman, tetapi saya masih lagi pertimbangkan tindakan itu,” katanya kepada media mengulas tindakan MHA mengharamkan beliau memasuki Singapura.
Agensi berita MediaCorp Singapura yang memetik portal Harian Metro melaporkan, penceramah popular itu yang lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Bollywood juga terkejut apabila diharam berceramah serta memasuki negara itu.
Kata Haslin, jika benar beliau menggalakkan perkara tidak betul ketika berceramah, dia sedia memohon maaf.
Bagaimanapun, ujar beliau, larangan dari MHA itu meletakkan dirinya seperti digantung tidak bertali kerana tidak diberikan penjelasan tepat kenapa diharamkan memasuki atau menyampaikan ceramah di Singapura.
“Saya mahukan penjelasan, di mana rasionalnya mengatakan saya memecahbelahkan antara orang Islam dan bukan Islam. Saya pun tercari-cari ceramah yang mana mengatakan saya galakkan perpecahan antara rakyat negara itu,” katanya yang mahu bersemuka dengan pihak berkuasa hal ehwal agama Islam Singapura untuk diberi penjelasan.
Semalam, MHA Singapura mengharamkan dua pendakwah iaitu Mufti Zimbabwe, Ismail Menk dan Haslin memasuki negara itu berikutan pandangan yang kononnya boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.
MHA Singapura dalam satu kenyataan media menyatakan, Ismail atau mesra disebut Mufti Menk dalam ceramahnya pernah melarang orang Islam memberikan ucap selamat bersempena perayaan individu bukan Muslim.
Haslin pula dituduh kononnya sengaja membawa pandangan yang menggalakkan perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam yang disifatkannya sebagai menyimpang daripada ajaran agama. – MalaysiaGazette
Ustaz Bollywood, Mufti Menk dihalang masuk Singapura