Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan surat kelulusan kewarganegaraan kepada salah seorang penerima sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (tiga kiri) pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Kewarganegaraan di Pejabat DBKL, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2017
KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas di peringkat Kementerian Kewangan (MOF) bagi mengkaji peluang penyertaan masyarakat India dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, langkah itu bagi mencari kaedah terbaik untuk mewujudkan peluang perolehan dan penawaran kontrak kepada usahawan India.”Banyak usahawan kecil dalam kalangan masyarakat India telah mula berniaga selepas menamatkan pengajian di universiti awam.

“Mereka memerlukan sedikit bantuan supaya diberi galakan untuk mengambil bahagian dalam sektor agensi kerajaan dan GLC.

“Kita akan mengadakan perbincangan susulan dengan Timbalan Perdana Menteri berkaitan perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Kewarganegaraan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada 177 orang kaum India hari ini.

Subramaniam berpuas hati kepada komitmen kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang komited membantu menangani masalah dokumentasi kerakyatan masyarakat India.

Malah pada masa yang sama, beliau juga akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri itu mengenai penyelesaian dokumentasi kerakyatan yang dihadapi oleh kaum India secara agresif.

“Isu sosial yang dihadapi kaum India ialah mereka yang tidak mendaftarkan perkahwinannya yang kemudiannya menyebabkan mereka gagal mendaftarkan kelahiran anak.

“Mereka pandai berkahwin, tahu melahirkan anak tetapi tak tahu hendak menguruskan pendaftaran kelahiran anak, ini tidak boleh dibiarkan berlaku kepada masyarakat India selepas ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette