SPRM

JOHOR BAHRU – Seorang Timbalan Pengarah di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri ditahan kerana disyaki terlibat bersubahat meminta dan menerima wang rasuah daripada Pengurus Projek syarikat Kejuruteraan Petroleum.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan suspek, seorang lelaki berusia 47 tahun di pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 11 malam tadi (3 November) bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM 8,000 daripada pengurus projek berkenaan melalui pegawai JKKP yang ditahan sebelum ini supaya tidak diambil tindakan memasang Mesin Angkat (Grip Hoist) tanpa mendapat kebenaran JKKP Johor.

Dalam satu serbuan yang dibuat, pasukan penyiasat telah menjalankan penggeledahan di 3 lokasi yang berbeza dan menjumpai wang tunai berjumlah kira-kira RM 40,400 dan SGD 1,613.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a)Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai rasuah atau RM 10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette