Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menunjukkan gambar barang-barang rampasan pada sidang media SPRM mengenai pencerobohan nelayan asing diiringi Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar (kanan) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 06 NOVEMBER 2017

PUTRAJAYA – Pencerobohan nelayan asing, khususnya dari Vietnam, di perairan negara sentiasa memberi kesan kepada punca pencarian nelayan tempatan.

Apabila disiasat rupa-rupanya warga tempatan turut terlibat dalam pencerobohan yang melibatkan rasuah bernilai raturan ribu ringgit.

Ops Armada yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) semalam berjaya menahan 22 indiviu, termasuk tujuh warga asing dari Vietnam.

Dua wanita Vietnam yang mana salah seorangnya bergelar ‘Datuk’ merupakan dalang sindiket yang beroperasi sejak Disember tahun lalu.

Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, mereka ditahan semalam selepas operasi pemantauan dan risikan SPRM dan APMM di perairan Malaysia dan di Vietnam dengan mengumpul maklumat sindiket yang merupakan pengusaha bot nelayan Vietnam bermula Oktober lalu.

Katanya, sindiket itu beroperasi dalam tiga kaedah bagi mengelak daripada dikesan penguatkuasa iaitu menceroboh terus ke dalam perairan negara, mengklonkan pendaftaran bot dan menggunakan bendera Malaysia dan menggunakan permit nelayan tempatan dengan memberi bayaran kepada pemilik permit.

“Hasil siasatan awal mendapati bayaran itu melibatkan antara RM50,000 hingga ke RM100,000 dibayar pengusaha bot nelayan dari Vietnam menerusi wanita Vietnam bergelar ‘Datuk’ kepada nelayan dan penguatkuasa Maritim Malaysia.

“Nelayan Vietnam menceroboh dan menangkap hasil laut di negara kita di perairan Pahang, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan dan sepanjang 11 bulan lalu kami berjaya menghidu pergerakan sindiket tangkapan ikan secara haram itu.

“Kita menerusi pemantauan dan risikan berjaya mengenalpasti empat jeti di Vietnam yang terletak sangat berhampiran dengan perairan Malaysia dan nelayan Vietnam membolos masuk ke sini dengan bantuan pihak tak bertanggungawab di sini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Percint 7 di sini hari ini.

Dalam operasi besar-besaran semalam di enam kawasan itu, katanya daripada 22 yang ditahan enam orang merupakan penjawat awam tempatan iaitu lima pegawai APMM dan seorang dari Jabatan Perikanan manakala pengusaha bot nelayan Vietnam turut dicekup.

“Daripada 22 orang suspek itu juga, sembilan merupakan warga tempatan yang berperanan sebagai agen dan hasil siasatan lanjut berjaya merampas wang tunai berjumlah RM1.9 juta dipercayai rasuah dibayar kepada penguatkuasa bagai mengelak tindakan atau melepaskan bot-bot nelayan asing yang ditahan serta dirampas.

“Kami juga telah membekukan 44 akaun bank melibatkan simpanan wang berjumlah RM2 juta telah bekukan 44 akaun bank berjumlah 2 juta.

“Kita memandang serius juga nelayan tempatan yang menyalahgunakan permit dengan jalan singkat sama ada menyewa dengan bayaran tertentu membolehkan nelayan bot asing beroperasi di negara ini dan mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Proses perintah reman terhadap kesemua 22 individu itu sedang dijalankan dan SPRM juga dengan kerjasama Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar akan meneliti dan mengakaji semula sistem prosedur agensi bertanggungjawab dalam perairan untuk ditambah baik supaya mengelak kejadian sebegini berulang lagi,” katanya. – MalaysiaGazette